• Jom Sertai Kempen Bersama Yayasan EZ Prihatin
Back

Hikmah Israk Mikraj yang Sering Terlepas Pandang

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan kisah agung dan mukjizat besar Rasulullah SAW sehingga memiliki pelbagai hikmah di sebaliknya. Antara hikmah utama peristiwa Israk dan Mikraj ialah:

  1. Bukti Allah memuliakan Rasulullah.

Allah menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai satu bentuk anugerah dan hiburan kepada Rasulullah SAW setelah baginda melalui ujian yang amat berat iaitu kewafatan Siti Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib. Baginda turut diuji dengan penolakan serta pengusiran oleh penduduk Taif ketika menyampaikan dakwah Islam. Hakikatnya, Israk dan Mikraj membuktikan bahawa pertolongan Allah sentiasa dekat dan tidak pernah terputus. Tanggungjawab seorang hamba hanyalah perlu melalui setiap ujian dengan sabar, ikhlas dan penuh reda. Sesungguhnya, Allah tidak akan menguji seseorang melainkan sesuai dengan kadar kesanggupannya.

  • Kepentingan solat lima waktu

Pensyariatan solat fardu melalui peristiwa Israk Mikraj bukan sahaja bukti bahawa solat merupakan asas pembinaan diri dan masyarakat, bahkan menjadi bukti bahawa perubahan hakiki seorang Muslim perlu bermula dengan pembaikan hubungan dengan Allah. Justeru, sesiapa yang membaiki solatnya, hakikatnya sedang membaiki keseluruhan perjalanan hidupnya. Solat bukan sekadar kewajipan ritual, tetapi juga latihan disiplin jiwa, keikhlasan niat dan ketaatan yang berterusan. Melalui solat, umat Islam dididik untuk menjadikan ibadah sebagai keutamaan dalam kehidupan harian, bukan semata-mata tuntutan syariat, tetapi juga keperluan rohani yang menghidupkan hati.

  • Beriman kepada perkara ghaib

Sikap Saidina Abu Bakar al-Siddiq yang membenarkan dan menerima peristiwa Israk dan Mikraj tanpa sebarang keraguan menjadi teladan agung bahawa iman yang sejati tidak bergantung sepenuhnya kepada logik akal semata-mata. Sebaliknya, iman turut merangkumi keyakinan terhadap perkara ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan tidak tercapai dek pemikiran manusia. Keteguhan inilah yang melayakkan beliau digelar al-Siddiq, sekali gus membuktikan bahawa kepercayaan terhadap wahyu merupakan asas utama keimanan. Peristiwa ini juga menjadi ujian besar kepada masyarakat Mekah ketika itu dalam membezakan antara hati yang benar-benar beriman dengan hati yang masih diselubungi keraguan terhadap apa yang disampaikan oleh Rasulullah.

Kesimpulannya, hikmah Israk dan Mikraj sewajarnya diaplikasikan dalam kehidupan seharian melalui kesabaran menghadapi ujian serta kesedaran akan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Dengan penghayatan yang mendalam, peristiwa Israk dan Mikraj bukan sekadar catatan sejarah, tetapi akan terus menjadi sumber kekuatan rohani dan panduan hidup umat Islam sepanjang zaman.

Rujukan
https://ecentral.my/peristiwa-israk-mikraj-ringkas/#h-maksud-israk-dan-mikraj

Saluran Amal
Jika solat mendekatkan kita kepada Allah, maka kebajikan pula mendekatkan kita kepada manusia. Pada kesempatan bulan yang penuh keberkatan ini, kami mengajak tuan puan untuk menjadi sebahagian daripada rantaian kebaikan. Hulurkan sumbangan melalui Yayasan EZ Prihatin (YEZP) di https://ezy.la/kitakongsiramadan2026. Semoga sumbangan ini menjadi bukti cinta kita kepada Allah dan kasih kita kepada umat. Semoga setiap ringgit yang disumbangkan menjadi saksi amal, penenang jiwa, serta bekalan cahaya ketika kita bertemu Allah kelak.

R. F. Z
R. F. Z

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *