Ilmu mempunyai keistimewaan dan kedudukan yang tidak dapat ditandingi oleh harta. Wang mungkin habis dibelanjakan, tetapi ilmu yang dikongsi dan dimanfaatkan akan terus berkembang dan memberi nilai tambah kepada masyarakat tanpa ada penghujungnya. Inilah sebabnya Islam meletakkan nilai ilmu pada kedudukan yang sangat tinggi.
Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila mati seseorang manusia, terputuslah daripadanya segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim, al-Nasa’i, al-Tirmizi dan Abu Daud)

Hadis ini menunjukkan bahawa ilmu merupakan antara saham akhirat yang bernilai walaupun selepas seseorang meninggal dunia. Bayangkan saja, jika hari ini kita menghulurkan sedikit bantuan seperti yuran persekolahan, pembelian buku, komputer riba, alat tulis atau biasiswa pada seorang anak muda yang berkobar-kobar untuk menuntut ilmu, hingga akhirnya manfaat tersebut boleh mengubah kehidupan anak muda ini menjadi lebih baik untuk selama-lamanya.
Bagi anak-anak daripada keluarga asnaf, pendidikan merupakan salah satu harapan dan jalan untuk keluar daripada kitaran kemiskinan. Mereka mempunyai cita-cita yang sama seperti anak-anak yang lain, namun tidak semua mempunyai kesempatan dan peluang yang sama. Sokongan masyarakat ketika ini sangat penting hingga mampu membuka jalan mereka untuk melakar masa depan yang lebih cerah.

Sesungguhnya, setiap individu yang berjaya pasti pernah dibantu oleh seseorang dalam perjalanan hidupnya. Maka, alangkah indahnya jika kita menjadi sebahagian daripada insan yang membantu itu. Dengan menyalurkan zakat, infak atau sedekah melalui pautan https://ezy.la/bantuansekolah di Yayasan EZ Prihatin (YEZP), tuan puan bukan sekadar membantu anak-anak asnaf dalam meneruskan pendidikan, malah sedang membina saham akhirat yang manfaatnya terus mengalir. Semoga setiap huruf yang dibaca, setiap ilmu yang diamalkan dan setiap kejayaan yang dicapai oleh mereka menjadi pahala yang berpanjangan buat para penyumbang.