Bilakah kali terakhir kita membaca sebuah buku sehingga selesai?
Dalam dunia yang dipenuhi dengan telefon pintar, media sosial dan pelbagai hiburan digital, amalan membaca semakin mudah diketepikan. Kita mungkin mampu menghabiskan masa berjam-jam untuk menatal media sosial, tetapi berasa sangat sukar untuk meluangkan 15 minit membaca buku.
Sedangkan membaca bukan sekadar aktiviti untuk mendapatkan maklumat. Tapi juga memberikan pelbagai manfaat kepada fungsi kognitif dan kesejahteraan minda.
1. Merangsang Aktiviti Otak
Ketika membaca, otak bekerja untuk mengenal pasti perkataan, memahami makna, menghubungkan idea dan membayangkan situasi yang diceritakan. Aktiviti ini melibatkan pelbagai rangkaian otak yang berkaitan dengan bahasa, perhatian dan pemahaman. Jadi, ia memberikan peluang kepada kita untuk terus melatih keupayaan berfikir.
2. Membantu Meningkatkan Daya Ingatan
Apabila membaca sesebuah cerita, kita perlu mengingati watak, peristiwa dan maklumat untuk memahami keseluruhan jalan cerita. Proses ini melibatkan penggunaan daya ingatan dan keupayaan menghubungkan maklumat baharu dengan pengetahuan sedia ada.
3. Melatih Fokus dan Tumpuan
Membaca memerlukan perhatian yang panjang terhadap sesuatu bahan bacaan dalam tempoh tertentu. Hal ini berbeza dengan kandungan digital yang sering berubah dengan pantas. Dengan latihan yang konsisten, membaca boleh membantu kita dalam membina tabiat memberikan perhatian yang lebih terarah dalam jangka masa yang lama.

4. Membantu Mengurangkan Tekanan
Membaca bahan yang diminati boleh menjadi aktiviti santai selepas seharian penat bekerja atau belajar. Bagi sesetengah individu, membaca novel, kisah inspirasi atau bahan kerohanian dapat membantu mengalihkan perhatian daripada tekanan harian kepada ketenangan jiwa.
5. Mengembangkan Pemikiran dan Empati
Melalui pembacaan, kita berpeluang mengenali pengalaman, budaya dan perspektif yang berbeza, khususnya melalui karya fiksyen. Melalui karya fiksyen ini juga, pembaca dapat meneroka perasaan dan pemikiran watak yang ada dalam bahan bacaan tersebut. Pengalaman ini berpotensi membantu kita memahami sudut pandang yang berbeza.
Dalam Islam, kepentingan ilmu sangat jelas apabila wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW dimulakan dengan perintah:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Surah al-‘Alaq, 96:1)
Hakikatnya, kita tidak perlu bermula dengan membaca sebuah buku tebal. Tetapi cukuplah dengan beberapa halaman setiap hari.
Sebuah buku mungkin kecil nilainya bagi kita, tetapi begitu besar maknanya buat anak-anak yang dahagakan ilmu. Jangan biarkan kekurangan menghalang mereka daripada mengejar impian. Jom sumbangkan sedikit wang ringgit di Yayasan EZ Prihatin (YEZP) dengan click pautan ini https://ezy.la/bantuansekolah , agar anak-anak yang kurang berkemampuan mampu memiliki buku yang mereka inginkan.
