Dalam kesibukan melaksanakan rutin harian, tanpa disedari, hati mudah menjadi leka dengan duniawi. Zikir berfungsi sebagai terapi rohani yang menenangkan jiwa dan menstabilkan emosi.
Pengulangan kalimah tasbih, tahmid dan takbir bukan sekadar lafaz, tetapi pengakuan bahawa segala urusan berada dalam kekuasaan Allah.
Ramadan memberikan peluang agar lidah sentiasa dilazimi dengan zikir, khususnya pada waktu sahur dan menjelang berbuka. Hati yang sentiasa berzikir akan lebih sabar, lebih tenang dan lebih terkawal dalam menghadapi tekanan. Ia juga membentuk keperibadian yang lembut dan luhur, sekali gus mempengaruhi cara seseorang berinteraksi dengan masyarakat.
Dari sudut spiritual, zikir membina kesedaran dalaman bahawa manusia sentiasa berada dalam pemantauan dan rahmat Allah. Kesedaran ini melahirkan rasa cukup (qana‘ah) dan mengurangkan keresahan terhadap perkara yang di luar kawalan diri. Apabila hati dipenuhi dengan ingatan kepada Allah, ruang untuk prasangka, kemarahan dan kegelisahan menjadi semakin sempit.

Selain itu, zikir yang konsisten dapat membentuk disiplin rohani. Ia boleh diamalkan dalam pelbagai keadaan. Misalnya ketika berjalan, memandu, menunggu waktu berbuka atau selepas solat. Amalan yang kelihatan ringkas ini sebenarnya membina hubungan berterusan antara hamba dan Pencipta, sekali gus menjadikan Ramadan bukan sekadar tempoh ritual tahunan, tetapi proses pemulihan jiwa secara menyeluruh.
Hidupkan Ramadan dengan zikir yang berterusan agar jiwa sentiasa terpaut kepada Ilahi. Lahirkanlah tindakan yang menyantuni insan lain. Salurkan sumbangan anda melalui https://ezy.la/kitakongsiramadan2026 sebagai manifestasi hati yang hidup dengan zikir dan kasih sayang.