Setiap insan tidak terlepas daripada melalukan kesilapan, sama ada dalam hubungan dengan Allah mahupun sesama manusia. Istighfar dan taubat membuka ruang pemulihan rohani serta mengembalikan jiwa kepada fitrah yang suci. Istighfar bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi penyesalan yang lahir dari hati dan disusuli dengan azam untuk berubah.
Individu yang sering beristighfar akan lebih peka dengan kelemahan diri dan lebih mudah memaafkan orang lain. Disebabkan itu, bulan Ramadan merupakan bulan yang sangat sesuai untuk bermuhasabah diri kerana suasana spiritualnya.
Hakikatnya, taubat merupakan manifestasi kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Pintu keampunan sentiasa terbuka selagi nyawa belum sampai ke halkum. Kesedaran ini sebenarnya menanam harapan dan menghindarkan manusia daripada berputus asa dengan rahmat dan kasih sayang Allah.

Di samping itu, istighfar yang konsisten juga dapat membersihkan hati daripada kesan dosa yang menggelapkan jiwa. Hati yang bersih lebih mudah menerima nasihat, lebih peka terhadap kesalahan sendiri dan lebih berhati-hati dalam tutur kata serta tindakan. Proses ini bukan sahaja memperbaiki hubungan dengan Allah, bahkan turut memulihkan hubungan sesama manusia yang mungkin terjejas akibat kesilapan lalu.
Taubat yang sebenar menuntut perubahan tingkah laku secara nyata yang dizahirkan melalui kesungguhan dalam memperbaiki diri dan meningkatkan amal soleh. Dengan demikian, Ramadan bukan sekadar bulan penyesalan, tetapi bulan transformasi diri ke arah kehidupan yang lebih baik.
Ambillah peluang Ramadan ini untuk perbanyakkan istighfar dan memperbaharui taubat. Sebagai tanda kesungguhan perubahan, terjemahkan taubat itu kepada amal kebajikan yang memberi manfaat kepada insan lain. Sertai usaha murni ini melalui https://ezy.la/kitakongsiramadan2026