Bulan Ramadan merupakan bulan yang sentiasa dinantikan oleh seluruh umat Islam pada setiap tahun. Ia hadir sebagai bulan yang mulia, penuh barakah dan lebih baik daripada seribu bulan. Namun, tidak semua insan berpeluang untuk bertemu dengannya. Ada dalam kalangan kita yang telah bersedia menyambut Ramadan dengan pelbagai harapan dan perancangan. Namun begitu, terdapat satu persoalan penting yang jarang kita tanyakan pada diri kita, “Jika Ramadan ini yang terakhir, bagaimanakah aku ingin melaluinya?”
Persoalan ini bukanlah bertujuan untuk menakut-nakutkan, sebaliknya sebagai ajakan agar sekeping hati merenung hakikat bahawa kehidupan ini sentiasa diselubungi ketidakpastian. Allah mengingatkan bahawa setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 185 yang bermaksud,“Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati.”
Ayat ini sekali gus mengingatkan kita bahawa setiap peluang untuk beribadah pada hari ini merupakan nikmat yang tiada jaminan akan berulang pada hari esok. Maka, Ramadan bukan sekadar bulan yang hadir sebagai rutin tahunan, tetapi juga memiliki nilai yang jauh lebih besar iaitu bulan istimewa yang dikurniakan oleh Allah untuk kita kembali memperbaiki diri serta mendekatkan hati kepada-Nya.

Jika diamati, kita sering kali disibukkan dengan persediaan duniawi seperti juadah berbuka puasa, jadual kerja yang diubah suai, serta aktiviti sosial yang telah dirancang setiap kali menjelang Ramadan. Namun, sejauh mana kita menyediakan hati dan jiwa dalam memanfaatkan bulan Ramadan secara optimum?
Sekiranya Ramadan kali ini menjadi Ramadan terakhir dalam hidup kita, apakah kita masih menunda-nunda taubat dan amal kebaikan? Adakah kita masih berlengah dalam memperbaiki solat fardu serta memaafkan insan lain? Adakah kita juga berlengah dalam membersihkan hati daripada dendam serta kelalaian?
Sedangkan, Ramadan hadir sebagai madrasah untuk tarbiah jiwa. Maka, sambutlah Ramadan seolah-olah ianya yang terakhir dalam hidup kita. Moga setiap doa dilafazkan dengan penuh pengharapan dan setiap peluang berbuat kebaikan tidak lagi dipandang ringan. Sesungguhnya, Ramadan bukan hanya tentang menahan lapar dan dahaga, tetapi tentang peluang terakhir yang mungkin Allah berikan untuk kita menjadi hamba yang lebih baik.
Saluran Amal
Dengan penuh keinsafan, Yayasan EZ Prihatin (YEZP) ingin menjemput tuan puan untuk berkongsi rezeki di pautan ini https://ezy.la/kitakongsiramadan2026 sempena Ramadan kali ini. Mungkin kecil nilainya di mata manusia, namun besar ertinya di sisi Allah apabila dilakukan dengan niat yang ikhlas.
Mudah-mudahan sumbangan ini menjadi saksi bahawa Ramadan kali ini tidak berlalu sia-sia, tetapi dipenuhi dengan amal yang memberatkan timbangan kanan. Insya-Allah.