“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).” (Surah al-‘Alaq: 1)
Berdasarkan ayat ini, kita dapat lihat bahawa tamadun Islam dibina atas asas ilmu. Membaca bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang, bahkan merupakan jalan untuk mengenal Allah, memahami agama serta membaiki akhlak untuk menjadi insan yang lebih baik.
Budaya membaca sering dikaitkan dengan pelajar, guru atau golongan akademik sahaja. Hakikatnya, membaca merupakan amalan yang sepatutnya menjadi budaya setiap Muslim kerana perintah membaca merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah.
Umat Islam sewajarnya menjadikan acara seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) atau Pesta Buku Negeri sebagai pemangkin untuk menyuburkan budaya membaca dalam kalangan ahli keluarga. Tidak semestinya perlu membeli puluhan buah buku, tetapi memadai dengan memilih sebuah buku yang mampu menarik perhatian sekali gus dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan mendekatkan diri kepada Allah.

Budaya membaca juga perlu dipupuk sejak kecil lagi. Anak-anak yang dibiasakan dengan buku akan lebih mudah membina daya pemikiran yang kritis, kemahiran berkomunikasi yang baik serta mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Semakin luas ilmu yang dimiliki, semakin besar pula peluang seseorang untuk memberi manfaat kepada orang lain hingga mampu menyumbang kepada pembangunan ummah.
Marilah kita sama-sama membuka pintu ilmu kepada anak-anak yang memerlukan dengan menyalurkan infak atau sedekah melalui Yayasan EZ Prihatin (YEZP) dengan click pautan ini https://ezy.la/bantuansekolah. Semoga setiap sumbangan tuan puan dapat membantu dalam menyediakan keperluan pendidikan anak-anak asnaf. Mungkin sebuah buku yang disumbangkan hari ini menjadi titik permulaan lahirnya seorang guru, doktor, hafiz al-Quran atau pemimpin yang bakal memberi manfaat kepada ummah pada masa hadapan.