• Jom Sertai Kempen Bersama Yayasan EZ Prihatin
Back

Ramadan: Berbelanja Secukupnya, Berkongsi Selebihnya


Konsep bersederhana merupakan prinsip asas dalam ajaran Islam.

Berbelanja secara secukupnya bukan bererti kedekut, tetapi mengurus nikmat dengan penuh amanah.

Setiap rezeki yang diperoleh adalah tanggungjawab yang akan dipersoalkan. Justeru, sikap berjimat cermat mencerminkan kesedaran spiritual dan kematangan dalam membuat pilihan antara keperluan dan keinginan.


Apabila perbelanjaan dirancang dengan bijaksana, lebihan rezeki boleh disalurkan kepada golongan yang memerlukan. Sedar atau tidak, di sebalik kemeriahan juadah berbuka, masih ada keluarga yang bergelut menyediakan makanan asas. Di sebalik lambakan pilihan di bazar, terdapat insan yang berharap dapat menikmati seteguk air dan sepotong kurma sahaja. Kesedaran inilah yang sepatutnya mendatangkan rasa insaf dan muhasabah dalam diri setiap Muslim.


Puasa seharusnya mengajar erti mengawal nafsu, bukan membuka ruang kepada pemborosan yang tidak terkawal. Berbelanja secara berhemah dan berpada-pada membuka ruang dan melatih diri untuk berkongsi rezeki kepada golongan yang memerlukan secara lebih berganda. Lebihan yang kecil pada kita mungkin menjadi kegembiraan besar bagi orang lain.


Firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 67: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”

Rancang perbelanjaan dengan cermat, elakkan pembaziran dan salurkan lebihan rezeki kepada mereka yang memerlukan. Berbelanja secukupnya, dan berkongsi selebihnya. Itulah jalan menuju keberkatan.

Sekiranya anda ingin menzahirkan kesyukuran Ramadan melalui perkongsian rezeki, salurkan sumbangan anda melalui pautan ini https://ezy.la/kitakongsiramadan2026 . Semoga setiap pemberian menjadi saham akhirat yang berpanjangan.

R. F. Z
R. F. Z

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *