• Jom Sertai Kempen Bersama Yayasan EZ Prihatin
Back

Banjir: Jangan Tunggu Air Naik Baru Bertindak

Setiap kali musim tengkujuh tiba, pasti sebahagian masyarakat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir akan mengalami kebimbangan.

Bagi mangsa yang pernah menghadapinya, banjir bukan sekadar isu air yang memasuki rumah. Tetapi juga menyebabkan mereka kehilangan tempat tinggal, harta benda, sumber pendapatan, malah terpaksa memulakan kehidupan semula selepas bencana berakhir.

Justeru, persiapan awal amat penting bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga sentiasa terpelihara.

1. Sentiasa Peka terhadap Amaran Cuaca

Ikuti perkembangan cuaca melalui saluran rasmi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Jangan memandang ringan amaran hujan lebat, terutamanya jika kawasan kediaman pernah mengalami banjir.

2. Sediakan Beg Kecemasan

Setiap keluarga digalakkan menyediakan beg kecemasan yang mengandungi dokumen penting, ubat-ubatan, lampu suluh, bateri, pakaian, makanan tahan lama dan air minuman.

Pastikan barangan tersebut disimpan di tempat yang mudah dicapai sekiranya berlaku pemindahan segera.

3. Kenal Pasti Laluan Pemindahan

Ketahui lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) dan laluan yang selamat untuk keluar dari kawasan kediaman. Berikan perhatian khusus kepada kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mungkin memerlukan bantuan tambahan.

4. Utamakan Nyawa Berbanding Harta

Elakkan meredah atau memandu melalui air banjir kerana arus deras dan kedalaman air sukar dijangka. Sekiranya selamat, matikan bekalan elektrik utama sebelum berpindah dan sentiasa patuhi arahan pihak berkuasa.

5. Hulurkan Bantuan kepada Mereka yang Memerlukan

Bencana juga merupakan waktu untuk kita memperkukuh semangat persaudaraan dan keprihatinan.

Bantuan tidak semestinya berbentuk wang ringgit. Menyediakan makanan, pakaian, tempat perlindungan atau membantu membersihkan rumah selepas banjir juga merupakan amalan yang sangat berharga.

Memang kita tidak mampu menghalang banjir, tetapi risiko dan kesannya boleh dikurangkan melalui persediaan awal.

Ketika kita masih selesa berteduh di rumah, ada keluarga yang sedang kehilangan tempat berlindung akibat banjir. Mereka bukan sekadar memerlukan bantuan, tetapi juga memerlukan harapan untuk bangkit semula. Ayuh, salurkan sumbangan anda melalui Yayasan EZ Prihatin (YEZP) agar dapat meringankan beban mereka yang ditimpa bencana banjir.

Sumber:
https://www.mkn.gov.my/web/ms/2025/11/10/langkah-persediaan-menghadapi-banjir/

https://999.gov.my/info-999/persediaan-kecemasan
R. F. Z
R. F. Z

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *