• Jom Sertai Kempen Bersama Yayasan EZ Prihatin
Back

Anak Gadisku, Jangan Gadaikan Masa Depan kerana Perasaan

“Mak ayah tak faham perasaan saya!”

“Kenapa semua orang nak halang hubungan kami?”

“Kalau betul sayangkan saya, biarlah saya bahagia dengan pilihan sendiri.”

Sering kita dengar dan baca ungkapan-ungkapan sebegini, bukan? Inilah antara ungkapan yang mungkin terlintas dalam fikiran anak remaja apabila hubungan percintaan mereka mendapat tentangan daripada ibu bapa.

Lebih membimbangkan, ada anak gadis yang sanggup melarikan diri dari rumah semata-mata mahu bersama insan yang dicintainya, khususnya apabila ditegur oleh ibu bapa supaya memberikan tumpuan kepada pelajaran.

Tidak salah untuk mempunyai perasaan cinta. Ia merupakan fitrah manusia yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Namun, cinta yang hadir tanpa kematangan dan pertimbangan yang rasional boleh mendorong seseorang membuat keputusan yang terburu-buru.

Ketika usia masih muda, pelajaran merupakan salah satu jalan penting untuk membina masa depan. Ilmu, kemahiran dan pendidikan dapat membantu seseorang menjadi lebih berdikari serta bersedia menghadapi cabaran kehidupan.

Jangan kerana terlalu takut kehilangan seseorang, kita akhirnya kehilangan peluang untuk membina kehidupan yang sepatutnya kita kecapi.

Jika seseorang benar-benar mencintai kita, dia sepatutnya menyokong impian dan cita-cita kita, bukannya meminta kita meninggalkan keluarga atau mengabaikan pelajaran demi dirinya.

Adik-adik, kadangkala nasihat ibu bapa kedengaran tegas.

Namun, di sebalik ketegasan tersebut, tersimpan 1001 kebimbangan tentang keselamatan, pendidikan dan masa depan kalian.

Ingat! Cinta yang Matang Tidak Memusnahkan Masa Depan

Cinta mungkin membuatkan kita berasa dihargai, disayangi dan diperlukan. Namun, kehidupan selepas itu memerlukan tanggungjawab, kesabaran, ilmu, kestabilan emosi dan kesediaan menghadapi kesusahan bersama.

Dalam erti kata yang lain, cinta itu lebih daripada sekadar ungkapan “Saya sayang awak.”

Makanya, jangan terlalu sibuk mempertahankan seseorang sehingga terlupa mempertahankan masa hadapan sendiri.

Cinta sahaja tidak cukup untuk membina kehidupan. Tetapi ilmu, akhlak dan kematangan akan membantu kita membuat pilihan yang lebih bijaksana dan bernas.

Jangan kerana cinta yang belum pasti, kita mengorbankan masa depan yang masih luas menanti. Buat ibu ayah di luar sana, sesungguhnya setiap anak mempunyai impian yang ingin digapai, namun tidak semua berpeluang untuk mengejarnya dalam keadaan yang sempurna. Marilah bersama-sama dengan Yayasan EZ Prihatin (YEZP) dalam membantu anak-anak kita dengan click pautan ini https://ezy.la/bantuansekolah . RM1 daripada kalian, sangat besar nilainya untuk anak-anak yang memerlukan.

R. F. Z
R. F. Z

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *