Dalam kehidupan yang dilalui hari demi hari, pasti setiap daripada kita sebenarnya sangat mengimpikan rezeki yang melimpah dan diberkati Allah. Rezeki pula bukan sekadar diukur pada banyaknya harta, mewahnya kereta mahupun besarnya kediaman yang diduduki. Tetapi turut merangkumi ketenangan jiwa, kesihatan yang baik, keluarga yang harmoni, anak-anak yang soleh, jiran yang memahami serta rakan kerja yang positif. Oleh kerana itu, gelaran “wanita penarik rezeki” bukanlah merujuk kepada petua tertentu, amalan mistik atau kepercayaan yang tidak bersandarkan syariat. Sebaliknya, ia merujuk kepada seorang wanita yang menghiasi dirinya dengan iman, akhlak dan amalan soleh sehingga menjadi asbab turunnya rahmat serta keberkatan Allah kepada dirinya dan keluarga.
Antara ciri wanita tersebut ialah:
- Menjaga solat lima waktu.
- Taat kepada Allah, Rasul dan suami.
- Berbakti kepada kedua-dua ibu bapa.
- Menjaga amanah dan maruah sebagai isteri dan ibu.
- Sentiasa bersyukur atas setiap nikmat yang dikurniakan.
- Menjaga lisan daripada menyakiti hati suami dan orang lain.
- Gemar bersedekah walaupun dengan jumlah yang sedikit.
- Amanah dalam menguruskan harta dan perbelanjaan keluarga.
- Sentiasa mendoakan ahli keluarga.
- Berakhlak mulia serta ringan tangan membantu orang yang memerlukan.

Allah SWT berfirman:
“.. Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepadamu…” (Surah Ibrahim: 7)
Ayat ini mengingatkan bahawa keberkatan rezeki berkait rapat dengan keimanan dan rasa syukur kepada Allah. Rezeki yang diberkati itu tidak semestinya perlu banyak, tetapi sentiasa mencukupi, mendatangkan ketenangan hati dan membawa kebahagiaan kepada seluruh isi rumah. Oleh itu, wanita yang sentiasa memperbaiki hubungan dengan Allah, menjaga akhlaknya serta mendidik keluarganya dengan nilai-nilai Islam sebenarnya sedang membuka pintu-pintu rezeki yang jauh lebih bernilai daripada kekayaan semata-mata. Hakikatnya, seorang wanita bukan sahaja berperanan dalam menjaga sebuah rumah, tetapi juga turut berperanan dalam membentuk suasana rumah yang harmoni sekali gus dapat melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia. Apabila seorang wanita memilih untuk hidup dengan iman, syukur dan sifat pemurah, kebaikan itu bukan sahaja dirasai oleh dirinya, malah mengalir kepada seluruh ahli keluarga dan orang di sekelilingnya.

Tuan puan, keberkatan rezeki bukan hanya diukur melalui apa yang kita miliki sekarang, tetapi juga melalui apa yang kita kongsikan kepada mereka yang memerlukan. Mari normalisasikan amalan memberi dan berkongsi sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan kita dengan menginfakkan atau sedekah pada https://ezy.la/adikumar melalui Yayasan EZ Prihatin (YEZP). Mudah-mudahan setiap sumbangan yang dihulurkan menjadi asbab bertambahnya rezeki dari pelbagai sudut yang tidak disangka-sangka.