• Jom Sertai Kempen Bersama Yayasan EZ Prihatin
Back

Ayah: Wira dalam Diam

Apabila berbicara tentang kasih sayang dalam keluarga, perhatian sering tertumpu kepada pengorbanan seorang ibu. Jarang-jarang masyarakat melihat dan menyebut sisi pengorbanan seorang ayah. Tanpa sedar, ada susuk tubuh seorang ayah yang berjuang dalam diam di sebalik sebuah keluarga yang bahagia. Ayah, dia mungkin tidak pandai meluahkan kasih sayang dengan kata-kata, tetapi seluruh hidupnya dihabiskan demi memastikan keluarganya hidup dengan selesa dan berkecukupan. Walaupun bergelut dengan kepayahan dan keletihan dalam mencari rezeki, insan yang bergelar ayah sangat bijak dalam menyembunyikan kepenatan mereka di hadapan ahli keluarga. Senyuman dan keriangan anak-anak sering menjadi pengubat kepada segala penat lelah yang ditanggung setelah seharian keluar bekerja.

Islam meletakkan kedudukan bapa pada tempat yang sangat mulia. Allah SWT berfirman:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa…”  (Surah al-Israa’, ayat 23)

Ayat ini jelas membuktikan bahawa berbuat baik kepada ibu bapa merupakan antara tuntutan terbesar selepas mentauhidkan Allah. Seorang ayah mungkin tidak selalu mengucapkan “ayah sayang anak ayah”, tetapi setiap titik peluh yang dicurahkan cukup menjadi bukti kasih sayang yang tidak berbelah bagi.

Jika masih mempunyai ayah, jangan sia-siakan peluang untuk menghargainya. Luangkan masa bersama, dengarkan nasihatnya dan mohonlah keampunan jika pernah melukakan hatinya. Jangan mencari mereka ketika kita hanya memerlukan sesuatu sahaja. Jika ayah telah tiada, teruskan berbakti melalui doa, sedekah dan amal soleh yang diniatkan untuknya. Ketahuilah, kasih seorang anak tidak pernah terhenti walaupun dipisahkan oleh kematian.

Sesungguhnya, seorang ayah tidak mengharapkan balasan yang besar. Cukuplah melihat anak-anaknya menjadi insan yang beriman, berakhlak mulia dan memberi manfaat kepada masyarakat. Walaupun seluruh dunia tidak memihak kepadanya, doa daripada anak-anak yang soleh sudah cukup menjadi penawar kepada segala penat lelah yang pernah dipikul sepanjang hidupnya.

Jika hari ini Allah melapangkan rezeki tuan puan, jangan lupa menghadiahkan doa dan amal jariah buat seorang ayah yang telah banyak berkorban untuk kita. Melalui Yayasan EZ Prihatin (YEZP), tuan puan boleh menyalurkan zakat, infak atau sedekah bagi membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan, misalnya dengan click pautan ini https://ezy.la/suraualhuda. Semoga setiap kebaikan yang dilakukan menjadi saham akhirat yang berterusan, serta mengalir pahalanya kepada kedua-dua ibu bapa yang kita kasihi.

R. F. Z
R. F. Z

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *