• Jom Sertai Kempen Bersama Yayasan EZ Prihatin
Back

Terima Kasih, Ibu!

Setiap tahun, kita tidak akan pernah terlepas daripada mendengar ungkapan mengenai sambutan Hari Ibu. Hari Ibu sebenarnya menjadi kesempatan untuk kita menghargai insan yang telah banyak berkorban sejak hari pertama kita di dalam rahimnya. Pada hari yang istimewa ini, ramai yang akan menghadiahkan bunga, ada yang meraikan dengan makan bersama dan tidak kurang juga yang menitipkan ucapan bermakna yang penuh kasih sayang. Namun, sebagai umat Islam, penghargaan terhadap ibu tidak seharusnya terhad kepada satu hari sahaja dalam setahun, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui kasih sayang, penghormatan dan doa yang berterusan setiap hari. Bahkan sepanjang hayat.

Dalam Islam, kedudukan seorang ibu sangat tinggi sehingga Rasulullah SAW meletakkan ibu sebagai insan yang paling berhak menerima layanan baik daripada seorang anak. Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W: ‘’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya ?’’. Maka Rasulullah S.A.W. menjawab, Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu. (Riwayat Muslim)

Wahai anak, ingatlah, ucapan “terima kasih” yang paling bermakna kepada seorang ibu bukan hanya melalui kata-kata, tetapi juga melalui sikap yang menghormati, menjaga kebajikannya, tidak meninggikan suara serta sentiasa mendoakan kesejahteraannya.

Bagi mereka yang masih mempunyai ibu, jangan bertangguh untuk menghargainya. Luangkan masa untuk mendengar ceritanya, bertanya khabar, memeluknya dan memohon maaf selagi peluang masih ada. Manakala bagi mereka yang telah kehilangan susuk tubuh seorang ibu, usah bersedih terlalu lama. Pintu berbakti masih terbuka melalui doa, sedekah dan amal kebajikan yang diniatkan untuknya. Rasulullah SAW sendiri menjelaskan bahawa doa anak yang soleh merupakan antara amalan yang terus mengalir kepada ibu bapa walaupun mereka telah meninggal dunia.

Sempena Hari Ibu, marilah kita anugerahkan sesuatu yang lebih bernilai daripada sekadar ucapan atau hadiah iaitu dengan bersedekah di https://ezy.la/suraualhuda melalui Yayasan EZ Prihatin (YEZP) dengan niat untuk menghadiahkan pahala tersebut kepada ibu yang masih hidup mahupun yang telah kembali ke rahmatullah. Mudah-mudahan setiap manfaat yang diterima oleh golongan asnaf menjadi amal jariah yang berpanjangan, sekali gus menjadi bukti kasih sayang kita kepada insan yang telah banyak berkorban demi membesarkan kita.

R. F. Z
R. F. Z

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *