Sederhana Di Bumi, Terkenal Di Langit

kimu115
on
April 18, 2024

Uwais al-Qarni merupakan seorang pemuda yang tinggal di Yaman. Beliau merupakan pemuda yang soleh dan sangat taat dan berbakti pada ibunya yang lumpuh. Disebabkan kesolehan dan mulia akhlaknya, beliau sentiasa merawat dan memenuhi semua permintaan ibunya. Dalam semua permintaan tersebut, ada satu permintaan yang sukar untuk ditunaikan, iaitu mengerjakan haji.

Uwais termenung ketika mendengar permintaan ibunya itu. Ligat pikirannya memikirkan cara untuk membawa ibunya menunaikan haji. Membayangkan jarak perjalanan dari Yaman ke Mekah sangatlah jauh dan perlu melewati padang pasir yang tandus, panas dan gersang bukanlah satu perkara yang mudah dan boleh dilakukan oleh semua orang kerana kebiasaannya masyarakat Arab akan menggunakan unta sebagai kenderaan dan membawa banyak bekalan dalam menempuhi   perjalanan yang jauh itu. Namun Uwais sangat miskin dan tidak memiliki kenderaan.

Skuad Prihatin sempat beramah mesra dengan penghuni Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency – SRA

Selepas puas memikirkan jalan penyelesaian, akhirnya Uwais membeli seekor anak lembu. Setiap pagi beliau akan mendukung anak lembu tersebut sambil naik turun bukit sehingga dipanggil gila oleh masyarakat setempat yang melihatnya. Namun beliau tidak peduli dengan apa yang dikatakan oleh mereka. Beliau tetap gigih mendukung anak lembu tersebut tanpa terlepas satu hari pun.

Hari demi hari, anak lembu tersebut semakin membesar, sekaligus memerlukan tenaga yang banyak untuk menggendongnya ke bukit setiap hari. Tetapi kerana latihan yang konsisten, Uwais langsung tidak merasakan beban ketika mendukung lembu dewasa itu.

Setelah 8 bulan berlalu, tibalah musim haji. Lembu Uwais telahpun mencapai 100 kg, begitu juga dengan otot Uwais yang semakin kuat. Maka tersedarlah orang-orang sekeliling bahawa punca Uwais menggendong lembu setiap hari sebenarnya adalah latihan untuk menggendong ibunya ke Mekah. Subhanallah !  Bayangkan, Uwais menggendong ibunya dari Yaman ke Mekah untuk menunaikan haji hanya dengan berjalan kaki !

Ayah merupakan cinta pertama bagi anak perempuan mereka dan sahabat pertama untuk anak lelakinya.

Betapa besar cinta Uwais pada ibunya sehingga rela menempuhi perjalanan yang jauh dan sulit demi memenuhi keinginan ibunya. Lebih mengharukan apabila sampai di hadapan Kaabah, Uwais berdoa kepada Allah agar diampunkan dosa ibunya. Lalu si ibu bertanya “Bagaimana dengan dosamu wahai anakku?”, Uwais menjawab “Dengan terampuninya dosa ibu, maka ibu akan dimasukkan ke syurga. Cukuplah redha ibu yang akan menghantarku ke syurga.”

Kehebatan Uwais al-Qarni dalam mentaati ibunya menjadikan beliau mendapat keistimewaan daripada Allah. Rasulullah bersabda, “Nanti akan datang kepada kamu seseorang bernama Uwais bin ‘Amir bersama serombongan pasukan dari Yaman. Dia berasal dari Murad, dari Qaran. Dia menghidap penyakit kulit, kemudian dia sembuh daripadanya kecuali sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu dan sangat berbakti kepadanya. Sekiranya dia bersumpah kepada Allah, maka akan diperkenankan yang dia pinta. Jika kamu mampu agar dia memohon pada Allah keampunan bagimu, maka lakukanlah.” (Riwayat Muslim)

“Seorang ibu adalah dia yang dapat menggantikan semua yang lain sedangkan tempatnya tidak dapat diambil oleh orang lain.”

Imam al-Zahabi ada menyebut, “Uwais al-Qarni adalah seorang teladan yang zuhud, penghulu para tabi’in di zamannya, termasuk di antara wali-wali Allah yang soleh lagi bertaqwa dan hamba-hambanya yang ikhlas.” Uwais tidak berpeluang menziarahi Nabi SAW di Madinah disebabkan beliau menjaga serta berkhidmat kepada ibu beliau yang sudah tua dan uzur. Akhirnya, beliau syahid pada tahun ke-37H pada usia 67 tahun dalam Peperangan Siffin.

Renungan :
Anakku, ada 5 jenis air pada ibu yang takkan boleh diganti oleh seorang anak,
1. Air ketuban saat ibu mengandungkan kita.
2. Air darah saat ibu melahirkan kita.
3. Air susu saat ibu menyusui kita.
4. Air keringat saat ibu membesar dan menjaga kita.
5. Air mata saat ibu mendoakan kita.

Maka, hargailah bidadari tanpa sayap ini dalam hidupmu.

Sumber rujukan : https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2969-al-kafi-1016-keistimewaan-uwais-al-qarani