Sedekah adalah salah satu bentuk tabungan yang kita laburkan ke dalam simpanan masa depan kita.
Masa depan bagaimanakah yang dimaksudkan? Ia adalah masa depan akhirat kita kelak. Mengapa sedekah itu dikatakan sebagai simpanan masa depan akhirat? Kerana, setiap harta yang kita sedekahkan itu bakal menjadi pahala untuk kita dan saham akhirat kelak.
Inilah yang dimaksudkan dengan tabungan atau pelaburan jangka panjang. Persis juga dengan hasil tabungan yang kita simpan sekarang sama ada bertujuan untuk kecemasan, tabung persiapan nikah, tabung haji dan sebagainya, ia adalah untuk digunakan pada masa-masa yang diperlukan bagi menyokong perjalanan kehidupan di dunia.
Namun, persoalannya di sini, antara sedekah dan menabung (menyimpan wang), yang manakah perlu diberi keutamaan? Lebih-lebih lagi dalam masa kita yang sedang diuji dengan pandemik Covid-19 ini, pastinya tabungan kecemasan perlu diberi perhatian khusus bagi menjadikan kita bersedia untuk perkara-perkara yang tidak dijangka akan berlaku.

Rata-rata hari ini kita melihat ada yang diuji dengan dibuang kerja, direhatkan tanpa gaji dan pelbagai lagi ujian yang melanda menyebabkan perasaan paranoid itu muncul. Kesimpulannya, simpanan dan wang persediaan kecemasan amat penting untuk menjadikan kita lebih bersedia agar kelak, kita tidak akan terdesak untuk meminta-minta.
Tetapi apabila melihat kepada keadaan ketika ini di mana ramai ditimpa ujian tersebut, semestinya perasaan empati akan menempa diri kita. Adakalanya, kita sendiri pun cukup-cukup makan sahaja namun, niat di hati ingin membantu. Jadi, manakah yang lebih utama?
Pilihan Antara Sedekah Dan Diri Sendiri

Dalam perihal beramal, kita tidak boleh beramal secara sewenang-wenangnya kerana perkara utama yang perlu kita tahu adalah peringkat keutamaan amalan sendiri. Sering sekali kita mendengar buah kata manusia;
‘Andai diri sendiri tidak mampu, bagaimana hendak menjaga orang lain?’
Perumpamaan ini jelas menandakan bahawa perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah dengan menjaga diri sendiri, kemudian ahli keluarga serta orang sekeliling.
Kita boleh sahaja membantu sebanyak mana yang kita mahukan, namun tidak boleh sehingga mengabaikan diri sendiri. Sebab itulah wujudnya istilah, ‘bantulah sekadar mampu’.
وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَّحْسُورًا
Allah SWT berfirman; “Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya (sangat pemurah) dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela (menyesal) serta kering keputusan”. (QS Al-Isra’: 29)
Firman Allah SWT yang dibawakan di atas mengandungi perintah untuk kita hidup dalam keadaan cermat dan larangan daripada mempunyai sikap berlebihan dalam membelanjakan harta yang kita miliki.

Sedangkan, Baginda SAW juga pernah menasihati Umar Al-Khattab yang bersedekah agar meninggalkan sedikit hartanya untuk untuk keperluan ahli keluarganya. (HR Al-Bukhari & Muslim)
Perkara-perkara ini menunjukkan bahawa sedekah itu adalah suatu bentuk perbuatan yang mulia dan penting, namun keutamaannya adalah dengan tidak mengabaikan diri sendiri agar lebih banyak manfaat yang boleh diberikan kepada orang lain.
Di zaman Rasulullah SAW ada seorang sahabat yang bernama Abu Dzar Al-Ghifari. Beliau sahabat Rasulullah SAW yang pendapatan satu harinya hanya cukup untuk makan dan jika ada lebihnya maka akan beliau sedekahkan. Beliau selalu mengajarkan seperti itu ke mana pun beliau berada, inilah cara yang paling islami menurut beliau.
Di saat khalifah Rasyidin Usman yang ketiga, Abu Dzar Al–Ghifari dipanggil “Kamu boleh berpendapat seperti itu, tetapi jangan kamu ajarkan kepada orang lain! jika kamu tetap ajarkan kepada orang lain maka saya sebagai pemerintah kamu akan saya beri pilihan. Kamu berhenti mengajarkannya atau kamu keluar dari Madinah,” ucap Khalifah Rasyidin Utsman dengan tegas. Akhirnya Abu Dzar Al–Ghifari memilih keluar dari Madinah. Pendapat Abu Dzar Al-Ghifari adalah pendapat peribadi itu ditunjukkan majoriti para sahabat Rasulullah tidak ada yang seperti beliau.
Harta sebagai ujian itu adalah benar. Kenapa? Kerana harta yang kita peroleh boleh didapatkan dengan menggunakan sumber daya iaitu sumber fizikal alam dan sumber fizikal sosial. Adapun ujian dari harta tersebut yang pertama adalah apakah kita kufur atau adakah kita bersyukur? Ujian harta kedua adalah apakah kita sedar dengan hak sosial dalam harta kita? Hak sosial adalah kita menyedari bahawa di dalam harta kita ada hak milik orang lain yang kebiasaanya itu dibayar dengan zakat.
Allah SWT berfirman, “Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka.” (Q.S. At–Taubah : 103)
Setiap agama tidak ada satupun yang mengajarkan kita jadi peminta. Bahkan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wassalam. berkata “Tangan di atas itu lebih baik daripada tangan di bawah” Orang yang memberi manfaat terbaik dan yang terbanyak itulah Muslim terbaik.
Ertinya setiap Muslim diajarkan untuk lebih banyak bermanfaat untuk orang lain dan juga umat Muslim diajarkan untuk menjadi orang yang memiliki banyak harta agar setiap Muslim boleh bersedekah dan membayar zakat. Kita harus menyedari selain sedekah ada zakat yang harus kita bayar.
Zakat memiliki syarat iaitu mencapai harta tertentu. Oleh itu, untuk mencapai harta tertentu tersebut kita perlu menyimpan atau menabung. Bagaimana kita boleh mencapai harta tertentu jika kita tidak menyimpan atau menabung, kan? Dengan demikian kita dapat memahami bahawa dengan menabung atau menyimpan kita dapat bersedekah mahupun menunaikan zakat.
Rasa Bahagia Dalam Sedekah
Hidup ini penuh dengan pemberian rezeki dari Tuhan dan kita seharusnya berasa bersyukur dengan segala nikmat yang Tuhan beri kepada kita. Oleh sebab itu, kita seharusnya berkongsi dengan orang yang memerlukan. Sesungguhnya, dengan berkongsi rezeki kepada orang lain bukan hanya membahagiakan orang lain, tetapi kita juga sedang membahagiakan diri sendiri.
Pancing Rezeki Dengan Sedekah?
Apabila kita memberi sedekah kepada orang yang memerlukan, kita sebenarnya sedang memancing rezeki lagi. Maksudnya di sini, apabila kita memberi dengan niat yang ikhlas, kita akan mendapat pulangan yang banyak yang tidak disangka-sangka. Oleh itu, janganlah kita berkira-kira untuk berkongsi rezeki dengan orang lain.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, dapat kita simpulkan bahawa sedekah itu perlu dilakukan berdasarkan kemampuan diri. Bimbang seandainya kita mencuba untuk bersedekah melebihi apa yang termampu, keikhlasan itu berkemungkinan akan hilang dek kerana minda terfikir akan perkara tersebut.
Menyimpan juga adalah perlu untuk keperluan akan datang bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Ini bukanlah bermaksud yang mana kita tidak percaya akan takdir Allah, namun ia adalah salah satu bentuk tawakkal yang kita letakkan sesudah berusaha.
Kerana tawakkal itu tidak datang dengan tangan yang kosong, sebaliknya sesudah usaha dan doa yang diletakkan.
Wallahu’alam.
———-
Peluang Santuni Asnaf Dengan Menyalurkan Bantuan Berbentuk Makanan Asas.
Boleh ke pautan ini untuk bantu> yayasanezprihatin.org
ATAU
💳 Yayasan EZ Prihatin (Maybank)
💳 562405633644
Rujukan: “makananasnaf”
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yg berterusan, ilmu pengetahuan yg dapat beri faedah & anak soleh yg mendoakannya”.
Hadis Riwayat Muslim