Berpuasa merupakan rukun Islam yang ketiga dan ia diwajibkan ke atas setiap Muslim yang memenuhi syarat-syarat wajib berpuasa iaitu baligh, berakal, dan mampu melaksanakannya. Berpuasa di bulan Ramadan adalah ibadah yang dilakukan sebagai tanda ketaatan kepada perintah Allah serta menghayati makna sabar dan tawakal kepada-Nya. Berpuasa di jalan Allah membawa pengertian yang mendalam tentang pengorbanan, kesabaran, dan keimanan yang tinggi dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim.
Sedarkah kita bahawa berpuasa mengajarkan kita tentang pentingnya kesabaran dan ketabahan. Sepanjang bulan Ramadan, umat Islam di seluruh dunia menahan diri dari makan dan minum. Tetapi ada yang lebih besar daripada itu yakni bagaimana kita mengawal dan menahan keinginan nafsu dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Latihan ini bukan hanya tentang menahan lapar dan dahaga, tetapi lebih kepada mengendalikan hawa nafsu dan emosi, seperti marah dan iri hati. Ini adalah pelajaran yang paling penting dalam kehidupan sekaligus mengajarkan kita tentang pentingnya mengawal diri dalam pelbagai situasi, tidak hanya dalam konteks berpuasa. Lebih baik lagi jika kita dapat mengaplikasikan kesabaran dan menahan hawa nafsu ini sepanjang riwayat kita ! Bukan hanya sekadar ketika di bulan Ramadan sahaja.

Selain daripada melatih diri daripada sabar dan menahan kehendak diri, berpuasa kerana Allah juga mengingatkan kita tentang pentingnya empati dan solidariti terhadap mereka yang kurang beruntung atau bernasib baik. Melalui pengalaman lapar dan dahaga ini, kita akan menjadi lebih peka terhadap penderitaan orang lain, khususnya mereka yang hidup dalam kemiskinan dan kekurangan. Ini mendorong umat Islam untuk lebih aktif dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kebajikan, seperti memberi sedekah dan membantu mereka yang memerlukan. Melalui amalan berpuasa ini juga, ianya bukan semata-mata membentuk dan mendidik kita untuk menjadi seorang yang penyabar dan tahan ujian, tetapi juga melatih kita untuk membina komuniti yang saling peduli dan saling membantu antara satu sama lain.
Dalam kemeriahan kita menjalani ibadah berpuasa, Ramadan juga merupakan bulan di mana Al-Quran diturunkan dan ini menjadikannya waktu yang sangat sesuai untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui beribadah, berdoa dan membaca Al-Quran. Malam-malam Ramadan terutamanya Lailatul Qadar adalah peluang yang paling berharga untuk kita perbanyakkan amalan seperti berdoa dan memohon ampunan dari Allah, bersedekah dan yang paling utama ialah waktu yang paling baik untuk membersihkan hati dan jiwa.
Kesimpulannya, berpuasa di jalan Allah bukan hanya tentang menahan diri dari makan dan minum, tetapi lebih kepada pembentukan karakter, empati, dan keimanan. Ia adalah waktu untuk merenung dan memperbaiki diri, serta memperkuatkan hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Semoga Allah menerima seluruh amalan kita di bulan Ramadan yang penuh barakah ini.