Pengulangan surah al-Kahfi setiap jumaat dapat membantu kita dalam membetulkan perspektif tentang kehidupan. Surah al-Kahfi membawa seruan ‘nak jaga akidah perlukan usaha’. Nak kekal hidup dan mati dalam islam, banyak ujian akan berlaku. Ada 3 pesanan penting dalam surah al-Kahfi.
1. Usahakan untuk mencari suasana yang baik (biah solehah)
Ashabul kahfi sanggup ‘lari’ daripada tempat tinggal mereka demi menjaga akidah di hati. Mereka percaya bahawa hanya menyembah Allah sahaja akan selamat di akhirat nanti.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
وَّرَبَطْنَا عَلٰى قُلُوْبِهِمْ اِذْ قَا مُوْا فَقَا لُوْا رَبُّنَا رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَا لْاَ رْضِ لَنْ نَّدْعُوَاۡمِنْ دُوْنِهٖۤ اِلٰهًـا لَّـقَدْ قُلْنَاۤ اِذًا شَطَطًا
“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.””
(QS. Al-Kahf 18: Ayat 14)
Dalam konteks kehidupan kita, antara usaha kita jaga akidah kita dengan memilih sahabat atau pasangan yang ada mindset akhirat. Circle yang baik akan sentiasa lakukan amar makruf nahi mungkar dan berlumba-lumba dalam kebaikan. Sekiranya kita terlupa, mereka akan mengingatkan kita tentang redha Allah.
2. Belajar mengurus ekonomi diri dengan bijaksana
Baru- baru ni tular dalam media sosial, seorang bapa membunuh anak-anaknya kerana masalah ekonomi keluarga. Apabila kita berada dalam ‘survival mode’, kita tidak sempat untuk memikirkan tentang kualiti hidup dan kemanusiaan. Kita perlu merancang ekonomi keluarga mengikut kemampuan kita.
Persoalan tentang ekonomi yang sering kita hadapi:
1. Bagaimana mahu menyimpan wang kecemasan?
2. Adakah pekerjaan ini mempunyai perlindungan perubatan keluarga?
3. Adakah gaji bulanan cukup untuk menyara keluarga?
Walaupun kehidupan kita sukar, Al-Kahfi mengingatkan kita untuk libatkan Allah dalam setiap urusan kita. Allah yang memberi rezeki kepada hamba-Nya. Kaya atau miskin itu ujian daripada Allah.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
وَلَوْلَاۤ اِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَآءَ اللّٰهُ ۙ لَا قُوَّةَ اِلَّا بِا للّٰهِ ۚ اِنْ تَرَنِ اَنَاۡ اَقَلَّ مِنْكَ مَا لًا وَّوَلَدًا
“Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu,”
(QS. Al-Kahf 18: Ayat 39)
3.Fokus pada perkara yang penting
Dalam surah al-Kahfi terdapat dialog yang berbahas pada perkara tidak penting dan tidak membantu dalam pembangunan iman.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
سَيَـقُوْلُوْنَ ثَلٰثَةٌ رَّا بِعُهُمْ كَلْبُهُمْ ۚ وَيَقُوْلُوْنَ خَمْسَةٌ سَا دِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًا بِۢا لْغَيْبِ ۚ وَيَقُوْلُوْنَ سَبْعَةٌ وَّثَا مِنُهُمْ كَلْبُهُمْ ۗ قُلْ رَّبِّيْۤ اَعْلَمُ بِعِدَّتِهِمْ مَّا يَعْلَمُهُمْ اِلَّا قَلِيْلٌ ۗ فَلَا تُمَا رِ فِيْهِمْ اِلَّا مِرَآءً ظَاهِرًا ۖ وَّلَا تَسْتَفْتِ فِيْهِمْ مِّنْهُمْ اَحَدًا
“(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “; dan setengahnya pula berkata:”Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).”
(QS. Al-Kahf 18: Ayat 22)
Akan ada golongan yang suka berbahas perkara yang sia-sia.Kita boleh lihat sendiri dalam media sosial. Kadang perkara yang pelik lebih mudah tular berbanding berita yang membawa kebaikan. Kajian menunjukkan, manusia di media sosial sukakan hiburan. Namun, ada perkara yang bercanggah dengan agama Islam tetapi mereka normalisasikan. Kita sendiri boleh lihat, agama sesat mudah diterima masyarakat kerana mereka mudah takjub pada perkara yang pelik.
Semoga pesanan al-Kahfi ini membantu kita dalam menghadapi dunia akhir zaman ini