Puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadan adalah wajib untuk diganti semula sama ada ia ditinggalkan secara sengaja atau tidak sengaja (disebabkan keuzuran).
Meninggalkan puasa diumpamakan seperti hutang kepada Allah yang wajib dibayar. Jika sudah beberapa tahun tidak menggantikan puasa tersebut, maka dalam situasi ini seseorang individu itu perlu melakukan bayaran fidyah.
Adapun buat mereka yang ingin menggantikan puasa, ia perlu dilakukan sama seperti ibadah puasa yang dilakukan pada bulan Ramadan.
Ia tidaklah bermaksud anda perlu melakukan solat sunat Tarawih pada setiap malam, kerana solat tersebut hanya khusus pada bulan Ramadan dan tiada pada bulan-bulan yang lainnya.
Namun, perlu dilihat dan diambil perhatian akan perkara-perkara wajib ketika melaksanakan ibadah puasa ganti.
Bagaimanakah Puasa Boleh Terbatal?
- Muntah dengan sengaja
- Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan dengan sengaja
- Makan dan minum di siang hari
- Bersetubuh atau keluar mani dengan sengaja
- Keluar darah haid atau nifas
- Pitam sepanjang hari ketika berpuasa
- Gila
- Murtad (keluar dari agama Islam)
Jenis Keuzuran Yang Mengharuskan Berbuka Puasa
- Wanita yang sedang mengandung
- Ibu yang menyusukan anak
- Dalam perjalanan jauh (musafir)
- Sakit yang memudharatkan
- Tua
Cara Menggantikan Puasa Yang Tertinggal
Cara menggantikan puasa adalah sama sahaja seperti puasa Ramadan. Tetapi bacaan lafaz niatnya adalah berbeza. Lafaz niat puasa ganti adalah:
“Sahaja aku berpuasa esok hari kerana ganti fardhu Ramadan kerana Allah Ta’ala”
Waktu Yang Dibolehkan Untuk Mengganti Puasa Ramadan
Kita boleh sahaja menggantikan puasa yang tertinggal pada bila-bila masa sahaja selepas bulan Ramadan sehingga ke bulan Ramadan yang berikutnya, kecuali pada hari yang dilarang berpuasa seperti pada hari raya pertama Hari Raya Aidilfitri.
Adakalanya, ada situasi di mana kita sudah lama meninggalkan puasa. Kininya, barulah kita terdetik untuk menggantinya. Jadi, bagaimana caranya?
Sekiranya kita tidak berkesempatan untuk menggantikan puasa sehingga tibanya Ramadan seterusnya, maka kita diwajibkan membayar Fidyah. Fidyah bererti membayar denda berbentuk beras kepada fakir miskin.
Puasa yang telah ditinggalkan itu tetap wajib diganti, dalam nisbah dan juga kadar yang sama, iaitu satu hari meninggalkan puasa bersamaan dengan satu hari puasa ganti.
Manakala, jumlah fidyah itu pula meningkat mengikut tahun, tetapi bilangan puasa adalah tetap sama.
Kesimpulan
Ibadah puasa ganti merupakan perkara wajib yang sangat perlu diambil perhatian. Walaupun aura berpuasa itu bukan seperti kita berpuasa pada bulan Ramadan, namun anda perlu menitikberatkan ibadah tersebut kerana ia adalah fardu ain.