Dalam menjalani kehidupan yang serba lengkap dan moden, kita pasti tidak terlepas daripada memikirkan gaya hidup dan penampilan yang sempurna. Buktinya, ketika kita ingin jogging, kita akan memastikan kaki kita menyarungkan kasut sukan yang khusus untuk jogging. Ketika kita ingin berbasikal, pasti kita akan memakai alat pelindung lutut, kasut khusus yang sesuai untuk berbasikal dan juga cycling helmet. Sedar arau tidak, kita sebenarnya sangat mementingkan penampilan dan keterjagaan fizikal sehingga menitikberatkan setiap sudut anggota badan agar tidak terluka atau setidak-tidaknya, meminimumkan kecederaan.
Persoalannya, adakah kita melakukan persediaan kesihatan mental sama seperti kesihatan fizikal kita?

Dalam konsep kehidupan manusia, kita tidak akan terlepas daripada terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Dalam erti kata lain, kita perlu berhadapan dan berurusan dengan ramai orang yang memiliki pelbagai ragam. Ada golongan manusia yang kita benar-benar selesa berurusan dengannya, dan ada juga kelompok manusia yang kita cuba mengelak daripada bertentang mata.
Misalnya dalam dunia pekerjaan, kita pasti ada rakan yang sering melontarkan kata-kata yang kasar dan adakalanya gurauan yang menggores hati kita. Tapi apakah tindakan kita ketika itu? Cuba berlapang dada atau bergaduh dan terus bermasam muka berhari-hari lamanya?
Adakah kita sudah melakukan persiapan yang secukupnya untuk menghadapi situasi-situasi begini dalam kehidupan seharian kita ?

Kesihatan mental merupakan aspek yang sangat penting dalam kehidupan manusia tetapi seringkali diabaikan. Secara dasarnya, individu yang mempunyai kesihatan mental yang baik lebih mampu menikmati kehidupan dan menghadapi cabaran dengan tenang. Mereka akan berasa lebih bahagia dan berpuas hati dengan kehidupan mereka. Ini termasuklah dalam kemampuan untuk mengekalkan hubungan yang sihat dengan orang sekeliling serta mencapai matlamat peribadi dan profesional dengan lebih mudah.
Dari aspek pekerjaan pula, persediaan kesihatan mental membantu dalam meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja. Individu yang mempunyai kesihatan mental yang baik biasanya lebih fokus dan bersemangat dalam melaksanakan tugas-tugas harian mereka kerana mampu berfikir secara kreatif dan membuat keputusan yang lebih bijak.

Kesimpulannya, kepentingan persediaan kesihatan mental perlu dititikberatkan dan diamalkan sejajar dengan persediaan kesihatan fizikal kita. Ia bukan sahaja memberi kesejahteraan dan peningkatan kualiti hidup, tetapi juga menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih sihat dan mampu berdaya saing. Oleh itu, sayangilah mental anda.
Renungan
Kesihatan mental yang baik adalah asas kepada kestabilan emosi.
Emosi yang stabil menjadikan seseorang tidak mudah putus asa atau marah.
Impaknya : Dapat mengekalkan hubungan yang baik dengan orang lain dan mengelakkan konflik yang tidak perlu.