Mana Lebih Baik? Korban Di Tempat Sendiri Atau Luar Neg3ra

kimu115
on
May 24, 2022

Setiap tahun, pasti ada dalam kalangan ahli keluarga atau kenalan kita yang akan mengambil bahagian dalam ibadah korban. Ada yang melaksanakan ibadah korban di tempat sendiri dan ada juga yang memilih untuk berkorban di luar negara.

Alasannya, keadaan di sana lebih ramai orang fakir dan miskin yang lebih memerlukan makanan seperti sumbangan daging yang mana jarang sekali dapat dirasa dalam setahun. Banyak sebenarnya pihak-pihak yang telah menjalankan program aqiqah dan korban begini di luar negara contohnya EZ Qurban dan banyak lagi. Pasti ada dari kalangan anda yang baru tahu mengenai ibadah korban yang dilaksanakan di luar negara bukan?

Sebahagian individu pula berpendapat bahawa adalah lebih afdhal melakukan ibadah korban di tempat sendiri. Namun apa yang menjadi persoalan kini, manakah lebih baik – melakukan ibadah korban di tempat sendiri atau di luar negara?

Menurut Uztaz Zahiruddin Abd Rahman, sebenarnya hampir semua ulama bersetuju bahawa sebaiknya ibadah korban dilakukan di tempat sendiri atas beberapa alasan:

1) Sembelihan haiwan korban dilakukan dengan tangan sendiri

Hal ini disepakati paling afdhal kerana ia merupakan suatu ibadah selain juga sunnah baginda Nabi Muhammad S.AW.

korban
Korban Malaysia (2020)

2) Berkongsi Bahagian Lembu

Jika berkongsi bahagian (seperti lembu yang dikongsi tujuh bahagian), kemudian tidak mampu menyembelih binatang korban sendiri, diharuskan untuk mewakilkan kepada orang yang lebih tahu bagi melaksanakannya.

3) Melihat Proses Penyembelihan Binatang Korban

Sunat untuk hadir dan melihat sendiri proses penyembelihan binatang korbannya, sama ada lelaki atau wanita. Hal ini bagi membolehkan individu tersebut menghayati sendiri dan mengambil fadhilat yang disediakan seperti pengampunan dosa saat menitis darah binatang korban ke bumi.

4) Memakan Sebahagian Daging Korban

Disunatkan bagi orang yang berkorban untuk makan sebahagian daging korbannya. Hal ini akan terhalang disebabkan berkorban secara wakil ke luar negara.

5) Ikutan Baginda Rasulullah S.A.W.

Rasulullah SAW juga melakukan semua ibadah Qurban baginda di Madinah dan tidak dibawa ke luar negara.

Justeru apa yang dapat disimpulkan berdasarkan keterangan di atas, telah disepakati oleh ulama bahawa lebih afdhal melakukan ibadah korban di tempat tinggal sendiri.

Namun bagi sebahagian individu yang memang terlibat dengan kerja-kerja amal serta pengurusan ibadah korban di luar negara, maka tidak ada masalah baginya untuk berkorban di luar negara.

korban

Hukum Melakukan Ibadah Korban Di Luar Negara Menurut Pandangan Mazhab

Dalam keadaan biasa seperti pihak yang tidak melakukan kerja amal di luar negara, tetapi ingin turut serta mengambil bahagian dalam ibadah korban di sana, maka para ulama mempunyai beberapa pendapat yang berbeza. Keterangannya adalah seperti di bawah:

Mazhab Hanafi

Menurut Mazhab Hanafi, makruh dipindahkan ke luar kawasan kecuali jika disebabkan ada kerabatnya di sana atau yang lebih memerlukan.

Mazhab Maliki

Tidak harus dipindahkan sembelihan ke luar kawasan yang melebihi jarak musafir, kecuali jika ada orang yang tinggal di luar kawasan lain tadi tersangat memerlukan maka bolehlah sebahagian besar dipindahkan, dan berbaki sedikit di kawasannya sahaja.

As-Syafie dan Hambali

Hukumnya adalah Harus untuk memindahkan ibadah korban ke luar kawasan yang tidak melebihi jarak musafir, namun terdapat ulama dari kalangan mereka yang mengharamkan memindahkannya jika lebih dari jarak musafir.

Imam Al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ mengakui terdapat dua pendapat dalam hal ini. Imam al-Mawardi menyatakan tiada halangan untuk dipindahkan. Namun Imam al-Ramli, tidak mengharuskan dengan qiyas kepada haramnya dipindahkan zakat lebih dari jarak musafir.

Seterusnya, ulama Kontemporari dan beberapa badan Fatwa seperti Saudi, UAE dan lain-lain menyuarakan bahawa; Harus dipindahkan ke negara yang terdapat ramai yang lebih memerlukan.

Justeru dengan penerangan di atas, dapat disimpulkan bahawa hukumnya Harus dan Sah melaksanakan korban secara wakil ke luar negara. Buatlah penilaian dengan bijak. Tidak ada masalah sama ada untuk berkorban di tempat sendiri mahupun berkorban secara wakil ke luar negara. Jika ada lebihan wang, maka tidak ada salahnya untuk memilih kedua-dua. Atau boleh juga bergilir setiap tahun antara berkorban di tempat sendiri dan juga di luar negara.

Ibadah korban mampu memupuk kasih sayang dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain, dengan hanya memberi sebuku daging korban. Inilah keindahan dan kemurnian Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. Betapa besar rahmat-Nya dalam menyatupadukan umat Islam tanpa membezakan antara yang miskin mahupun yang kaya. Semua golongan dapat berhari raya sambil menikmati daging-daging korban yang disembelih semata-mata demi mengharapkan keredhaan Allah S.W.T.

Kesemua perkara yang diterangkan di atas menjadi asas dan panduan bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban terbaik, sesuai dengan keutamaan serta fadhilatnya.

Walaubagaimanapun, tidaklah dinafikan bagi mereka yang memilih untuk melaksanakan ibadah korban di luar negara. Kerana ibadah korban di luar negara adalah alternatif yang ada pada masakini, iaitu bagi mereka yang ingin mendapatkan harga penyertaan korban yang lebih rendah, dalam masa yang sama mereka hanya mahu mewakilkan pelaksanaan korban sahaja, tanpa menyaksikan sembelihan tersebut.

Tidak menjadi salah sama sekali apa pun pilihan kita. Apa yang paling penting adalah, mereka tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan ibadah korban walaupun dengan hanya satu bahagian lembu korban sahaja.

وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِيْنَ يَبْخَلُوْنَ بِمَآ اٰتٰىهُمُ اللّٰهُ مِنْ فَضْلِهٖ هُوَ خَيْرًا لَّهُمْ ۗ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَّهُمْ ۗ سَيُطَوَّقُوْنَ مَا بَخِلُوْا بِهٖ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ ۗ وَلِلّٰهِ مِيْرَاثُ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِۗ وَاللّٰهُ بِمَا تَعْمَلُوْنَ خَبِيْرٌ

Allah berfirman: “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya, menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Sedangkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu?” (QS Ali-Imran: 180)

Akhir sekali, marilah kita sama-sama muhasabah diri untuk memanfaatkan kelebihan rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada kita untuk melaksanakannya. Semoga ibadah dan amal kebajikan yang kita lakukan atas dasar keikhlasan dan ketaqwaan kepada Allah SWT diterima dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda. Amin Ya Rabbal Alamin.

Semoga penulisan ini bermanfaat dan dapat dijadikan sebagai rujukan buat anda semua.

Rujukan Kandungan: Dr. Zaharuddin Abd Rahman



Infaq Adha

Allah SWT berfirman: “Maka barangsiapa memberikan (hartanya di jalan Tuhan) dan bertaqwa, dan membenarkan (adanya pahala) yang terbaik (Syurga). Maka akan kami mudahkan baginya jalan menuju kemudahan (kebahagiaan)”. (QS Al-Lail: Ayat 5-7)