Ketahui 20 Cara Ini Untuk Meraih Redha Allah

“Kamu sekali-kali tidak akan memperoleh pahala yang baik sebelum kamu menafkahkan (di jalan Allah) sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” [Quran 3: 92]

1) Memperbanyakkan Diri Dengan Beribadah

Allah sekali-kali tidak akan mensia-siakan pengabdian diri oleh hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” [HR Ahmad, Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah RA]

2) Memperbanyak Istighfar

Istighfar adalah pengakuan dosa seorang hamba kepada Allah SWT. Sabda Nabi SAW:

“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” [Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas RA]

3) Meninggalkan Semua Perbuatan-Perbuatan Dosa

Istighfar sahaja tidak mencukupi pada sisi Allah sekiranya seseorang itu masih membuat dosa. Dosa bukan saja menjadikan hati resah malah dosa juga akan menutup pintu rezeki. Sabda Nabi SAW:

“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” [HR At-Tirmidzi]

4) Sentiasa Mengingati Allah

Mengingati Allah akan membuatkan hati kita menjadi tenang. Inilah rezeki yang hanya Allah kurniakan kepada orang beriman. Firman-Nya:

“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” [QS Ar-ra’d: 28]

5) Sentiasa Berbakti dan Mendoakan Ibu Bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar barangsiapa yang ingin panjang umur dan ditambahkan rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda SAW juga bersabda:

“Barangsiapa yang berbakti kepada kedua ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” [HR Abu Ya’ala, At-Tabrani, Al-Asybahani dan Al-Hakim]

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab bertambahnya rezeki. Berdasarkan Sabda Rasulullah SAW:

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” [HR Al-Hakim]

6) Sentiasa Berbuat Baik dan Menolong Orang Yang Lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi SAW:

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” [HR Bukhari]

7) Menunaikan Hajat Orang Lain

Allah SWT akan melapangkan rezeki jika sentiasa menunaikan hajat orang lain, seperti sabda Nabi SAW:

“Sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” [HR Muslim]

8) Sentiasa Memperbanyak Selawat

Terdapat hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan juga boleh menjadi asbab terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9) Memperbanyakkan Membuat Kebajikan

Ibnu Abbas berkata:

“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10) Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah SAW; berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik sahaja selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11) Menjalin Silaturrahim

Rasulullah SAW bersabda; “Barangsiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” [HR Bukhari]

12) Sentiasa Dalam Keadaan Berwudhu’

Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Baginda SAW bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezekinya.” [Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid]

13) Memperbanyak Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah SWT dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin Al-Awwam:

“Wahai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka barangsiapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah SWT membanyakkan baginya. Dan barangsiapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” [Riwayat ad-Daruquthni dari Anas RA]

Kongsi Rezeki Bersama Anak Yatim. Klik: sumbang.yayasanezprihatin.org/order/form/foodbankanakyatim

14) Sentiasa Menunaikan Solat Malam (Tahajjud)

Ada keterangan bahawa amalan solat Tahajjud memudahkan kita memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.

15) Sentiasa Menunaikan Solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang ditunaikan sewaktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah SWT dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” [Riwayat al-Hakim dan Thabrani]

16) Sentiasa Bersyukur Kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah SWT. Lawan baginya adalah kufur nikmat. Allah berfirman;

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7)
Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” [QS Ali Imran: 145]

17) Mengamalkan Zikir dan Bacaan Al-Quran Tertentu

Zikir daripada ayat-ayat Al-Quran atau Asma’ul Husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadhilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan juga dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah At-Taubah (Ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali selepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah, Al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah Al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18) Memperbanyakkan Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, bergantung penuh dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam Al-Quran, Allah menyuruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19) Berikhtiar Sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah SWT berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. [Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim]
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murahnya rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20) Bertawakkal

Dengan bertawakkal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah SWT. Firman-Nya:

“Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” [At-Thalaq: 3]

Seterusnya, Rasulullah SAW bersabda; “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” [Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab RA]

Similar Posts

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *