Apabila tiba sahaja bulan Ramadan, setiap dari kita pasti akan meraikannya dengan penuh kesyukuran. Kerana ia merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh Umat Islam.
Menunaikan puasa merupakan antara rukun Islam yang wajib dilakukan oleh semua umat Islam pada bulan Ramadan. Namun, dalam sedar atau tidak, ada satu lagi rukun Islam yang wajib dilaksanakan pada bulan Ramadan, iaitu menunaikan zakat.
Zakat ini dikenali sebagai zakat fitrah wajib ke atas Muslim yang cukup syarat untuk membayarnya pada bulan puasa. Tujuan ia disyariatkan adalah untuk membersih dan menyucikan jiwa orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia.
Selain itu, ia juga digunakan untuk memberi makanan kepada golongan yang kurang berkemampuan serta mencukupkan keperluan Syawal mereka.
Zakat mula difardhukan pada tahun kedua hijriah, iaitu pada tahun yang sama difardhukan kewajipan puasa Ramadan. Ini adalah berdasarkan firman Allah yang berbunyi:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu berserta orang-orang yang rukuk.” (QS Al-Baqarah: 43)
Juga, Rasulullah SAW bersabda, daripada Ibnu Umar yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadan dengan kadar satu gantang daripada tamar atau satu gantang daripada gandum ke atas setiap yang merdeka dan hamba, lelaki dan perempuan di kalangan orang-orang Islam.”
Antara syarat wajib ke atas setiap Muslim untuk membayar zakat fitrah ialah Islam, merdeka, mempunyai harta yang lebih daripada keperluan perbelanjaan untuk dirinya dan mereka di bawah tanggungannya serta wajib dibayar ialah apabila terbenam matahari pada akhir Ramadan.
Bolehkah Zakat Dibayar Oleh Wakil?
Setiap orang yang bergelar Muslim wajib menunaikan zakat fitrah, tidak kira kanak-kanak, dewasa atau orang tua. Contohnya, anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari juga perlu dibayar zakat untuknya oleh kedua orang tuanya. Keterangan-keterangan lain yang lebih jelas tentang pihak yang perlu membayar zakat adalah seperti berikut:
Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi SAW memfardhukan zakat fitrah dalam bulan Ramadan ke atas setiap manusia Muslim (tidak kira hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, kecil atau besar) yang dikeluarkan sebanyak segantang tamar atau makanan ruji. (HR Bukhari dan Muslim)
عَنْ عِكْرِمَةَ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ
مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِىَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ فَهِىَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَاتِ
Maksud: “Dari Ikrimah dari Ibnu Abbas RA, beliau mengatakan: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitri sebagai penyuci orang yang berpuasa dari perbuatan yang menggugurkan pahala puasa serta dari perbuatan dan ucapan yang buruk, juga sebagai makanan bagi orang miskin. Barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat, maka zakatnya diterima. Barangsiapa yang menunaikannya setelah solat maka statusnya hanya sedekah biasa.” (HR Abu Daud)
Zakat fitrah adalah wajib dibayar ke atas golongan yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW melalui hadisnya, iaitu dalam kalangan orang Islam yang merdeka. Oleh itu, Imam Nawawi telah mengulas bahawa dua syarat wajib bagi pembayar zakat iaitu seperti yang berikut:
1) Beragama Islam
Ibnu Qudamah mengatakan bahawa zakat fitri tidak wajib ke atas orang kafir sama ada merdeka atau masih budak (Al-Mughni, 5:469).
Zakat merupakan suatu bentuk ibadah dan penyucian rezeki terhadap Allah SWT. Ia bertujuan untuk membantu saudara Islam kita yang lain dengan berkongsi rezeki yang ada serta menggalakkan diri untuk bersedekah walaupun sesudah Ramadan berlalu.
2) Mampu
Mampu di sini membawa maksud seseorang itu mempunyai harta yang mencukupi untuk diri dan tanggungannya. Menurut pendapat mazhab Maliki, Syafi’e dan Hambali, mampu disifatkan dengan memiliki makanan yang mencukupi untuk diri dan tanggungannya pada malam hari raya sehingga keesokan harinya.
Hal ini dapat dilihat melalui sebuah hadis yang telah dinyatakan, yang bermaksud:
“Wahai Rasulullah, apa ukuran sesuatu yang mencukupinya (sehingga tidak boleh meminta)? Baginda menjawab: “Dia memiliki sesuatu yang mengenyangkan (dirinya dan keluarganya) selama sehari dan semalam.” (HR Abu Daud)
Ibnu Qudamah pula telah mengulas dengan lebih lanjut mengenai seseorang yang mempunyai harta, namun masih mempunyai hutang. Beliau mengatakan bahawa, seseorang itu perlu melunaskan hutangnya terlebih dahulu (jika diminta atau telah tamat tempoh perjanjian) kerana ia merupakan hak terhadap manusia yang wajib dilunaskan.
Namun, jika hutangnya masih mempunyai tempoh atau belum dituntut, maka wajib ke atasnya membuat pembayaran zakat terlebih dahulu.
Seseorang Muslim yang ingin membayarkan zakat (wakil) untuk saudaranya yang lain seperti ibu bapa atau ke atas adik-beradiknya adalah dibolehkan. Namun, seseorang itu perlu mempunyai kemampuan untuk membayar zakat ke atas dirinya terlebih dahulu.
Hal ini kerana, harta peribadi bukanlah syarat bagi bayaran zakat fitri. Oleh itu, jika seorang abang ingin membayar zakat kepada adiknya, maka dibolehkan untuk menggunakan harta sendiri ke atas bayaran tersebut.
Walau bagaimanapun, Muslim tersebut perlu diberitahu berkenaan hal itu terlebih dahulu bagi mengelakkan pengulangan dalam pembayaran zakat sekali gus untuk membolehkan dia berniat. Hal ini kerana, niat merupakan syarat sah pembayaran zakat.
Begitu juga dengan majikan yang membuat pembayaran zakat ke atas pekerjanya sama ada dengan penolakan gaji atau tidak. Tidak wajib ke atas majikan untuk berbuat demikian, namun jika sebagai memudahkan urusan, maka itu adalah lebih baik. Namun, wajib ke atas majikan untuk membuat pembayaran zakat ke atas pekerjanya jika nafkah pekerjanya itu ditanggung oleh majikannya.
Sebagai contoh, orang gaji yang menetap di rumah majikannya dan segala keperluan diri seperti makan dan pakai ditanggung oleh majikan.
Hal ini berdasarkan kata-kata disebut oleh Imam Malik melalui Al-Muwatha’, (2/334), iaitu:
“Tidak ada kewajipan bagi seseorang untuk membayarkan zakat fitrah bagi budak milik budaknya (hamba kepada hambanya), pembantunya dan budak isterinya (hamba kepada isterinya) kecuali orang yang membantu dirinya dan harus dia menafkahkan, maka status zakatnya adalah wajib.” (Pandangan ini menurut konteks zaman ketika hamba masih dibenarkan dalam Islam)
Waktu Membayar Zakat
Zakat Fitrah tidak boleh ditunaikan pada bila-bila masa, ia mempunyai waktunya sendiri. Boleh baca keterangan di bawah:
1) Waktu Harus
Bermula dari awal bulan Ramadan sehingga akhir bulan Ramadan
2) Waktu Wajib
Selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan
3) Waktu Afdal
Selepas solat Subuh pada hari akhir Ramadan sehingga sebelum mengerjakan sembahyang sunat Aidil Fitri
4) Waktu Makruh
Selepas sembahyang sunat Aidil Fitri sehingga sebelum terbenam matahari
5) Waktu Haram
Selepas terbenam matahari pada hari raya AidilFitri.
Kini, zakat juga boleh dilakukan dengan mudah sama ada membayarnya di kaunter zakat secara terus atau tidak. Berdasarkan Pusat Pungutan Zakat, Muslimin boleh membayar zakat di kaunter zakat bergerak dan laman web zakat sendiri.
Kaunter zakat bergerak ini dijangka akan berada di tempat-tempat tertentu yang mudah untuk didapati dan telah dijadualkan. Sebagai contoh, di mana-mana LRT, masjid atau surau.
Manakala, bayaran zakat secara atas talian juga boleh dilakukan melalui laman web Bayaran Zakat jika dijangkakan tidak sempat untuk membayarnya di mana-mana pusat zakat atau kaunter terdekat.
Hukum Meninggalkan Zakat
Imam Nawawi RA melalui kitabnya menukilkan pendapat bahawa: “Sesiapa yang mengingkari kewajipan berzakat pada masa ini adalah kafir berdasarkan ijma. Pengetahuan tentang kewajipan berzakat telah tersebar luas di kalangan orang Islam sehingga telah diketahui oleh rakyat dan penguasa, termasuk orang alim dan jahil. Oleh itu, tiada alasan bagi sesiapa pun membuat tafsiran sendiri untuk mengingkarinya. Begitulah juga hukumannya bagi orang yang mengingkari sesuatu perkara agama yang telah disepakati oleh ulama’, seperti solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, mandi junub, pengharaman zina, perkahwinan dan hukum-hukum yang lain.” (Syarah Muslim, 1/205)
Zakat adalah sebuah tuntutan yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang cukup syarat. Tiada alasan untuknya menolak hukum dan suruhan Allah. Jika seseorang itu enggan mengeluarkan zakat kerana dia menolak suruhan tersebut, maka sebahagian para ulama’ menjatuhkan kafir terhadap perbuatannya.
Ia adalah perbuatan yang sama jika dia enggan menunaikan solat kerana kedua-duanya merupakan ibadah wajib. Ini adalah berdasarkan pendapat Imam Nawawi yang telah dinyatakan di atas.
Bagaimana pula dengan mereka yang kedekut untuk mengeluarkan zakat? Terlalu sayangkan hartanya sehingga mengabaikan kewajipan tersebut boleh menimbulkan kemurkaan Allah.
Para penguasa zakat atau ‘amil boleh melaksanakan tugasnya dengan mengambil zakat tersebut secara paksa. Zakat sebenarnya boleh dilakukan secara paksa ke atas Muslim yang enggan mengeluarkannya tanpa menafikan kewajipannya.
Pemerintah Islam juga berhak melaksanakan tugasnya untuk memastikan bahawa kewajipan telah dilakukan oleh setiap Muslim.
وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّـهُ مِن فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَّهُم ۖ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَّهُمْ ۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ وَلِلَّـهِ مِيرَاثُ
السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Allah berfirman: “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya, menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Sedangkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu?” (QS Ali-Imran: 180)
Bagaimana jika seseorang muslim itu terlupa membayar zakat? Adakah dikira berdosa dan apa pula yang perlu dilakukannya?
Berdasarkan perihal ini, jumhur ulama’ telah berpendapat bahawa wajib ke atas seseorang muslim itu untuk mengqada’ bayarannya walaupun selepas tamatnya waktu untuk membayar zakat fitrah.
Di sisi Islam, ia bukan lagi dianggap zakat fitrah, namun sebagai sedekah. Walau bagaimanapun, di sisi Allah, kita telah dianggap sebagai membayar hutang kepada Allah.
Qada’ ini tidak perlu ditunggu sehingga Ramadan seterusnya, namun boleh dilakukan pada bila-bila masa di mana-mana pusat zakat.
Jika tersedar akan kealpaannya, namun tidak bersegera mengqada’nya, maka haram hukumnya kerana bayaran zakat adalah wajib ke atas muslim. Perlu difahami bahawa walaupun telah berlalu waktu yang diwajibkan untuk membayar zakat, namun kewajipan untuk menunaikannya masih kekal dan tidak gugur.
Hikmah Zakat
Banyak sebenarnya fadilat zakat ke atas umat Islam. Antaranya ialah ia dapat membantu ekonomi umat Islam, kerana apabila dilunasnya zakat, maka ia akan dibayar terhadap golongan yang kurang berkemampuan.
Malah, pembayaran zakat juga menggalakkan kita untuk mengamalkan amalan sedekah dan membantu sesama muslim.
Ibn Abbas mengatakan: Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah (dengan tujuan) untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tiada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberi makanan kepada orang miskin. (HR Abu Daud)
Rujukan: Mufti Wilayah