Harta Pusaka #2

Imam Nawawi di dalam kitabnya Minhaj al-Talibin, meringkaskan hak-hak yang perlu ditunaikan sebelum pembahagian harta pusaka.

“Belanja pengebumian adalah tanggungan pertama daripada jumlah harta pusaka si mati, kemudian hutang piutangnya hendaklah dibayar, kemudian pemberian wasiat yang diwasiatkan olehnya hendaklah diselesaikan, akan tetapi hanya setakat satu pertiga dari harta pusaka selepas menolak hutang piutang. Yang tinggal dua pertiga adalah hak ahli waris.”

Bukan semua harta yang ditinggalkan oleh si mati dikira harta pusaka yang terus boleh dibahagikan. Para waris hendaklah menyelesaikan beberapa perkara penting terlebih dahulu sebelum pembahagian harta (faraid) dilaksanakan. Antara perkara yang perlu diambil kira:

1. Belanja Menguruskan Jenazah.

Sekiranya waris tidak mempunyai wang yang cukup untuk membiayai kos pengurusan jenazah, maka hukum syarak membenarkan waris menggunakan wang si mati atau harta yang ditinggalkan oleh si mati untuk membiayai kos pengurusan jenazahnya. Tetapi, hendaklah jangan sampai melampaui batas dan berlebih-lebihan. Duit ataupun wang si mati:

1. Boleh digunakan untuk membeli kelengkapan jenazah seperti kain kafan, kapur barus, air mawar dan lain-lain yang memang diperlukan untuk pengurusan jenazah.

2. Boleh diberikan sebagai upah kepada orang yang menguruskan jenazah seperti tukang mandi,tukang kafan serta tukang gali kubur. Ianya hendaklah berpatutan dan jangan berlebihan iaitu mengikut kebiasaan. Sebagai contoh, kebiasaan tukang mandi (ketua) dibayar RM100.00. Maka kita pun memberikan upah sebanyak itu dengan ikhlas. Tukang mandi pun terima dengan ikhlas dan jangan menuntut yang bukan-bukan seperti meminta kain pelekat, kain batik atau yang paling dahsyat dan ini telah menjadi satu kebiasaan dalam sebahagian masyarakat kita

Perlu diingat juga bahawa harta si mati tidak boleh digunakan untuk kenduri arwah, upah baca al-Quran, belanja menghias kubur si mati dan lain-lain hal yang tidak dituntut oleh syarak.

2. Menjelaskan Hutang Si Mati.

Harta yang ditinggalkan hendaklah digunakan untuk melunaskan harta si mati terlebih dahulu. Janganlah disebabkan tamak kita, akhirnya si mati merana di alam barzakh. Hutang si mati ada 2 iaitu hutang kepada Allah dan hutang kepada manusia.

3. Wasiat Amal Jariah

Wasiat amal jariah ataupun sedekah tidak boleh lebih 1/3 dari jumlah harta bersih si mati.

4. Harta Sepencarian

Sebelum pusaka si mati dibahagikan kepada waris sama ada secara faraid ataupun sepakat, isteri atau suami si mati berhak menuntut harta sepencarian mengikut kadar tertentu dari jumlah bersih harta pusaka selepas ditolak bahagian hutang dan wasiat.

Setelah selesai 4 perkara ini, sekiranya ada baki, barulah harta itu boleh dibahagikan kepada waris sama ada mengikut hukum faraid ataupun mengikut kesepakatan.

Pusaka

Similar Posts

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *