Kematian merupakan sebuah pengakhiran kepada kehidupan manusia di muka bumi. Namun, jangan terlupa akan sebuah lagi fakta tentang kematian, iaitu kematian juga adalah permulaan kepada kehidupan manusia di alam yang baru, iaitu akhirat.
Umat Islam wajib beriman dan percaya akan kewujudan Hari Akhirat. Walaupun ia adalah perkara ghaib (sesuatu yang kita tidak nampak) yang belum dirasakan oleh kita, namun ia akan berlaku ke atas setiap makhluk suatu masa kelak berdasarkan dalil dan riwayat yang telahpun disebut melalui hadis dan kalam-Nya.
Disebabkan itu, bagi memulakan kehidupan baru di akhirat kelak, manusia perlu membawa ‘bekalan’ yang mencukupi untuk ‘bertahan’ pada kehidupan baru tersebut. Jika baik amalannya di dunia, maka seseorang itu akan dimatikan dalam keadaan baik atau disebut sebagai Husnul Khotimah.
Kematian Husnul Khotimah
Kematian Husnul Khotimah inilah yang diimpikan oleh setiap manusia. Antara perkara yang diajar kepada kita untuk memperoleh Husnul Khotimah ialah dengan mengamalkan membaca doa agar Allah mengabulkan permohonan tersebut.
Dalam amalan kita sehari-hari, pastinya kita akan berdoa kepada Allah meminta bagi kemudahan segala setiap urusan. Oleh itu, sama juga dengan urusan meminta kematian yang baik.
Antara doa yang diajar adalah berdasarkan yang telah diamalkan oleh Saidina Abu Bakar dan telah diriwayatkan dari Muthallib bin ‘Abdillah;
اللّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمْرِيْ آخِيْرَهُ وَخَيْرَ عَمَلِيْ خَوَاتِمَهُ وَخَيْرَ أيَّامِي يَوْمَ أَلْقَاكَ
Maksud: “Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada akhirnya. Dan jadikanlah sebaik-baik amalku pada akhir hayatku dan jadikanlah sebaik hariku pada saat aku bertemu dengan Engkau.” (HR Anas bin Malik)
Doa ini ada dicatatkan dalam kitab Musannaf Ibn Abi Syaibah yang telah dikarang oleh Abu Bakar Abdillah bin Muhammad bin Abi Syaibah Al-Kufi. Ia sering diamalkan oleh Saidina Abu Bakar dan dibaca selepas solat bagi memohon agar mendapat pengakhiran yang baik.
Sama-sama kita amalkan doa ini agar mendapat Husnul Khotimah kelak. Aamiin