Daripada Abdullah bin Amr bin al-As RA berkata: “Seorang lelaki bertanya Rasulullah SAW: Islam manakah yang paling baik? Nabi SAW bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim
1. Memberi makan kepada golongan asnaf
Nabi SAW dalam sabdanya, “Sesungguhnya di syurga terdapat sejumlah bilik yang bahagian luarnya terlihat dari bahagian dalamnya dan bahagian dalamnya terlihat dari bahagian luarnya. Lalu seorang Arab Badwi berdiri lalu bertanya, “Ya Rasulullah untuk siapa bilik itu?” Nabi SAW menjawab, “Untuk orang yang memberi makan.”
Riwayat at-Tirmizi
2. Memberi makan kepada golongan berpuasa
Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا
Maksudnya: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.”
(Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)
3. Memberi makan kepada haiwan ternakan
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ketika ada seorang lelaki sedang berjalan di suatu jalan ia merasa sangat haus. Lalu ia menemukan sebuah sumur kemudian dia turun ke dalamnya lalu ia minum dan kemudian keluar. Tiba-tiba ada seekor anjing yang menjulurkan lidahnya. Akibat kehausan ia terpaksa makan tanah lembap.
Orang itu lalu berkata, “Anjing ini kehausan seperti yang aku alami.” Lalu ia turun ke sumur itu kemudian mengisi sepatunya dengan air dan memegangnya dengan mulut lalu memberi minum anjing itu. Maka, Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuninya.”
Sahabat kemudian bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah terhadap haiwan-haiwan ada pahala bagi kami?” Baginda bersabda, “Pada setiap makhluk hidup mendapat pahala.”
(Hadis Riwayat Muslim)