Setiap tahun dalam bulan Ramadan, kita tidak akan terlepas daripada mendengar tentang hari penurunan al-Quran atau dalam istilah Arabnya disebut sebagai Nuzul Quran. Sebagai umat Islam, Nuzul Quran ini merupakan peristiwa yang sangat penting dalam sejarah Islam kerana ianya menandakan bermulanya wahyu daripada Allah kepada Nabi Muhammad melalui malaikat Jibril dan ianya berlaku dalam bulan yang penuh barakah dan mulia iaitu pada 17 Ramadan (Hari Isnin).
Seperti dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, malaikat Jibril telah datang kepada Baginda dan menyuruhnya membaca dan Baginda membalas “aku tidak tahu membaca”, lalu malaikat Jibril memeluk Baginda sehingga Baginda mengalami kesukaran untuk bernafas. Perkara ini telah berlaku sebanyak tiga (3) kali dalam waktu yang sama. Kemudian turunlah ayat 1 – 5 surah al-‘Alaq.
Tapi, sedarkah kita bahawa disebalik peristiwa Nuzul Quran ini, terdapat pelbagai hikmah dan kepentingan yang boleh dijadikan panduan dan diaplikasikan dalam kehidupan.
1. Panduan Hidup yang Sempurna
Al-Quran merupakan panduan hidup yang cukup lengkap untuk seluruh umat manusia. Ia mengandungi perintah, petunjuk serta penjelasan tentang semua aspek kehidupan dari ibadah, muamalat, akhlak sehinggalah ke sistem sosial dan ekonomi. Betapa indahnya Islam sehinggakan Allah menyediakan solusi bagi setiap masalah dan jawapan bagi setiap pertanyaan yang mungkin dan akan timbul dalam kehidupan manusia.

2. Pemurnian Jiwa
Al-Quran berfungsi sebagai pemurnian jiwa bagi mereka yang membacanya dengan penuh penghayatan serta bertadabbur dengan ayat-ayatnya. Ayat-ayat al-Quran juga sebenarnya bukan sekadar menjadi bacaan suci semata, tetapi juga sebagai sumber inspirasi, motivasi dan pengubat duka untuk hati dan jiwa-jiwa yang lara kerana ujian dunia yang menimpa disamping memperbaiki diri dan meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.
3. Sumber Hukum dan Pedoman
Al-Quran adalah sumber utama hukum Islam dan pedoman bagi umat Islam dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Hukum-hukum yang terdapat dalam al-Quran membentuk asas bagi syariat Islam yang mengatur hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia serta manusia dengan alam sekitar.

4. Penguat Hubungan dengan Allah
Melalui pembacaan, pemahaman dan pengamalan al-Quran, seseorang dapat meningkatkan hubungannya dengan Allah kerana al-Quran membawa pesan-pesan cinta dan kasih sayang-Nya kepada kita dengan mengajak umat Islam untuk mendekatkan diri kepada-Nya melalui ibadah, doa, dan zikir.
5. Sebagai Sarana Dakwah
Bagi seorang Muslim, mempelajari dan menyebarkan ajaran yang terkandung dalam al-Quran merupakan salah satu cara untuk berdakwah dan berkontribusi terhadap penyebaran Islam kerana al-Quran itu sendiri kompas yang sentiasa mengarahkan kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran.
Akhir kalam, hikmah nuzul Quran sangatlah luas dan mendalam kerana al-Quran itu sendiri merangkumi keseluruhan aspek kehidupan kita. Dalam erti kata lain, al-Quran memberikan panduan, cahaya dan inspirasi bagi umat Islam di seluruh dunia. Dengan memahami dan mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung dalam al-Quran, seseorang dapat menjalani kehidupan yang lebih baik, lebih bererti dan lebih dekat dengan penciptanya iaitu Allah.
“So remember Me, I will remember you.” – Surah al-Baqarah : 152