1. Menekankan pendidikan akidah dan tauhid anak-anak.
Beliau sangat menitikberatkan ilmu al-Quran dan sentiasa mengaitkan sesuatu perkara dengan Allah. Contohnya ketika sedang makan, beliau akan mengingatkan anak-anak bahawa kita dapat makan kerana nikmat yang Allah berikan iaitu lidah untuk merasa.
2. Tidak meninggikan suara atau menjerit di rumah.
Dalam mendidik anak, Imam Hassan al-Banna akan mendekatinya anaknya untuk bercakap dengan mereka dengan nada yang lembut. Beliau tidak akan terpekik mahupun menjerit dengan kuat atau kasar.

3. Memberikan duit khusus kepada anak
Imam Hasan al-Banna mendidik anak-anaknya supaya sentiasa berasa cukup dan tidak meminta-minta kepada orang lain. Beliau pernah berkata, “Aku menginfakkan semua hartaku pada keluarga dan golongan yang memerlukan, kerana itulah simpananku”. Ketika ditanya lagi, “Tidakkah engkau bimbang jika anakmu menggunakan wang di jalan yang salah ?” Beliau menjawab, “Jika sumber rezekimu halal, maka tidak perlu bimbang ke mana rezekimu pergi dan ke mana anak-anakmu membelanjakan wang itu”.
4. Tidak menegur kesalahan anak secara direct atau memalukan.
Imam Hassan tidak menegur anaknya yang sering membaca komik secara terus, tetapi beliau membelikan buku-buku ketokohan dan memberikannya pada anak-anak sambil berkata, “Ayah kira yang ini lebih baik dan menyeronokkan untuk dibaca”.
5. Makan bersama dan menemani anak-anak ketika bermain.
Walaupun sangat sibuk dengan urusan ummah dan agama, Imam Hassan al-Banna tidak pernah sekalipun terlepas daripada makan berjemaah dengan keluarga. Jika terlalu penat, beliau akan pulang ke rumah dan berehat sebentar. Lalu meminta anaknya untuk mengejutkannya selepas beberapa minit berehat.
Selepas bangun, beliau akan bermain dengan anak-anaknya. Kata beliau, “Urusanku untuk ummah adalah penting. Tetapi, urusan anak-anakku adalah lebih penting”. Ada satu waktu, anaknya tertinggal bekal makanan di rumah dan Imam Hassan menyedari perkara tersebut. Dengan pantas beliau terus menghantar bekal makanan itu pada si anak sedangkan beliau mempunyai mesyuarat penting dengan Ikhwanul Muslimin pada pagi itu. Malah, beliau meminta izin untuk hadir lewat kerana ingin menghantar bekal tersebut. Anak beliau berkata bahawa itu adalah antara perbuatan ayahnya yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat.

6. Mewujudkan perpustakaan di rumah.
Imam Hassan al-Banna dibesarkan oleh seorang ayah yang sangat mementingkan pendidikan terutamanya ilmu agama, disebabkan itu beliau juga menerapkan pendidikan pada anak-anaknya dengan menyediakan ruang pembelajaran dan perpustakaan sebagai kemudahan untuk anak-anaknya menimba ilmu pengetahuan.
7. Mengajak dan membiasakan anak-anak berbincang isu besar.
Misalnya ketika Imam Hassan mahu menderma sebahagian barangan rumah kepada pejabat Ikhwanul Muslim, beliau meminta pendapat anak-anaknya. Dalam mesyurata ini, anak gadisnya Wafa, sering diberi tanggungjawab besar untuk mencatat isi-isi penting yang dibincangkan. Perkara ini secara tidak langsung membentuk keyakinan dan keberanian dalam diri anak-anak. Malah mereka berasa bangga kerana dipercayai ayahnya.

Kesannya, anak-anak Imam Hassan al-Banna membesar menjadi orang yang hebat dan cemerlang dalam pekerjaan sekaligus menabur berbakti untuk agama dan ummah. Keberhasilan didikan seorang ayah yang hebat pasti akan melahirkan generasi yang mulia dan memiliki wawasan hidup yang teguh. Perkara ini bukan sahaja membawa keuntungan kepada agama semata, malah dapat membentuk masyarakat yang berkualiti dan berdaya saing.