Bulan Zulhijjah merupakan bulan di mana seluruh umat Islam akan menyambut hari raya Aidiladha. Seterusnya, hari raya Aidiladha pula semestinya tidak lari dengan ibadah Korban. Menjadi kebiasaan bagi umat Islam untuk mengambil peluang laksanakan ibadah korban menjelang Aidiladha.
Bercakap mengenai Ibadah Korban, terdapat beberapa perkara penting yang perlu kita ketahui. Ibadah Korban itu apa sebenarnya? Jom saya kongsikan!
1) Pengertian ‘Korban’
Perkataan ‘korban’ ini membawa maksud mendekati atau menghampiri. Dari sudut istilah pula, ia bermaksud segala sesuatu yang digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah sama ada berupa haiwan sembelihan mahupun yang lain.

Dalam bahasa Arab, haiwan korban disebut juga dengan istilah ‘uhdiyah’. ‘Uhdiyah’ adalah haiwan korban yang merangkumi unta, lembu dan kambing yang disembelih pada hari raya korban (hari raya Aidiladha) iaitu 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyriq (11, 12, 13 Zulhijjah) sebagai taqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah S.W.T.
2) Fadhilat dan Hikmah Melaksanakan Ibadah Korban
- Menghidupkan sunnah Nabi Allah Ibrahim A.S.
Menghidupkan sunnah sebagai tanda ketaatan seorang hamba kepada Allah S.W.T. Ibadah korban mengingatkan kita tentang peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim A.S yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T untuk menyembelih putera baginda Nabi Ismail A.S.
Ia merupakan pengorbanan yang benar-benar menguji keimanan dan kesabaran mereka berdua. Perintah yang amat berat itu telah dilaksanakan atas dasar iman dan taqwa yang dilakukan tanpa ragu-ragu atau was-was. Atas dasar ketaatan dan ketulusan mereka tersebut, maka Allah S.W.T akhirnya telah memerintahkan agar Nabi Ismail A.S digantikan dengan seekor kibas.
- Mendidik jiwa ke arah taqwa dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail A.S dapat mengasuh dan mendidik diri untuk bersikap sabar terhadap apa jua ujian yang diberikan oleh Allah S.W.T dalam kehidupan, tidak mudah mengeluh dan tetap menyerah dan bertawakal kepada Allah S.W.T.
Ketahuilah, apa pun jua keadaan dan musibah yang berlaku, semua itu adalah ketentuan dan ketetapan daripada Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 156:
ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٌ۬ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٲجِعُونَ
Maksud: “Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu musibah, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kami kembali”
- Mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu berbelanja harta yang dimiliki ke jalan Allah S.W.T.
Kita perlu ingat bahawa harta yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada kita di saat dan ketika ini bukan hak milik mutlak kita sendiri malah di dalamnya ada hak-hak orang lain seperti golongan fakir miskin, anak-anak yatim dan sebagainya. Harta itu hendaklah disalurkan untuk sedekah, infaq, zakat dan membantu mereka yang memerlukan melalui ibadah korban.
- Menzahirkan tanda kesyukuran dan mengharapkan keredhaan Allah S.W.T.
Ibadah korban menzahirkan tanda kesyukuran kepada Allah S.W.T terhadap nikmat rezeki yang telah dikurniakan. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Hajj ayat 34:
وَلِڪُلِّ أُمَّةٍ۬ جَعَلۡنَا مَنسَكً۬ا لِّيَذۡكُرُواْ ٱسۡمَ ٱللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلۡأَنۡعَـٰمِ
“Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syariatkan penyembelihan korban sampai mereka menyebut nama Allah sebagai tanda bersyukur terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka.”
- Menjalinkan hubungan kasih sayang sesama manusia terutamanya antara golongan berada (berkemampuan) dan kurang berkemampuan.
Dengan melaksanakan ibadah korban, hal ini sekaligus dapat menjalinkan hubungan serta memupuk sikap pemedulian dan prihatin terhadap masyarakat. Ini jelas melalui pengagihan daging-daging korban tersebut kepada yang berhak menerimanya khususnya kepada para fakir miskin dan yang memerlukan.
3) Hukum Menjalani Ibadah Korban
Ibadah korban hukumnya adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut.
Menurut Imam as-Syafie, ibadah korban ini hukumnya sunat bagi mereka yang mampu, sama ada ketika berada di tempat tinggalnya, dalam perjalanan (musafir) mahupun ketika mengerjakan haji.
Ukuran ‘mampu’ berkorban itu hakikatnya sama seperti kemampuan untuk bersedekah iaitu mempunyai lebihan harta (wang) setelah memenuhi keperluan harian yang lazim bagi setiap manusia.
Jom semak syarat melaksanakan ibadah korban di bawah:
- Beragama Islam
- Berakal
- Baligh
- Berkemampuan
- Merdeka (bukan golongan hamba)
4) Dalil Disyariatkan Korban
Sangat digalakkan bagi mereka yang melepasi syarat-syarat korban berdasarkan firman Allah S.W.T:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ
Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (Surah Al-Kauthar)
Dalil Hadis Nabi S.A.W, dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;
“Barangsiapa yang mempunyai kemampuan tetapi dia tidak berkorban, maka janganlah sekali-kali ia menghampiri tempat solat kami.” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Al-Hakim)
Jelas di sini, bahawasanya ibadah korban bukanlah semata-mata melaksanakan sembelihan binatang sepertimana yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S ke atas anaknya, Ismail lalu digantikan oleh Allah S.W.T binatang lain bernama kibas.
Akan tetapi, tujuan sebenar ibadah ini adalah bertujuan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t seterusnya meningkatkan lagi nilai taqwa dan iman di sisi-Nya.
Bagi mereka yang berkemampuan, inilah masanya untuk menabur kebajikan. Sungguh besar nilai di sisi-Nya bagi mereka yang melaksanakan semata-mata mengharapkan keredhaan Allah S.W.T.
5) Binatang Yang Dibolehkan Untuk Korban




Antara binatang yang dibolehkan untuk Korban adalah unta, kerbau dan kambing dan selain daripada ketiga jenis ini adalah tidak dibolehkan untuk korban. Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud; “Kami syariatkan penyembelihan (korban), agar mereka menyebut nama Allah atas rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak.” (Al-Hajj: 34)
Adalah dianggap memadai berkorban dengan kibas yang berumur setengah tahun, kambing yang berumur satu tahun, lembu yang berumur dua tahun, dan unta yang berumur lima tahun, baik itu jantan atau betina.
Hal ini berdasarkan kepada hadis daripada Abu Hurairah R.A berkata, aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Binatang korban yang paling bagus adalah kambing yang jadza’ (berumur satu tahun).” – Riwayat Ahmad dan Tirmidzi.
Daripada Uqbah bin Amir RA, aku berkata, wahai Rasulullah S.A.W, aku mempunyai jadza’, Rasulullah S.A.W menjawab, “Berkorbanlah dengannya.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.
Daripada Jabir R.A, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Janganlah kalian mengorbankan binatang kecuali yang berumur satu tahun dan ke atas, jika itu menyulitkanmu, maka sembelihlah domba (kambing kibas) Jadza”.
Kesimpulan
Imam Abu Dawud RA dan An-Nasa’i melalui kitabnya menukilkan pendapat bahawa:
“Rasulullah S.A.W datang ke Madinah, sedangkan mereka sibuk bergembira selama dua hari. Maka, Rasulullah S.A.W bertanya, ‘Hari apakah yang dua hari ini?’ Mereka menjawab, ‘Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman jahiliah.’ Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda; ‘Sesungguhnya, Allah S.W.T telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha’.”
“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai oleh Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadah qurban. Sesungguhnya, binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya, ini diredhai oleh Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka, hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadah yang kamu lakukan.”
Indahnya aturan dan ketetapan Allah S.W.T ini dalam pelaksanaan ibadah korban. Ketetapan tersebut tidak lain bagi membezakan antara daging yang halal dan haram, juga bagi menghindarkan sebarang penyakit dari binatang tersebut.
Moga perkongsian ini dapat memberi sedikit info kepada kita sebagai persediaan untuk menyambut ibadah mulia ini.
Namun bagaimana pula dengan mereka yang enggan berkorban? Terlalu sayangkan hartanya sehingga mengabaikan tuntuan yang boleh menimbulkan kemurkaan Allah S.W.T.
وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِيْنَ يَبْخَلُوْنَ بِمَآ اٰتٰىهُمُ اللّٰهُ مِنْ فَضْلِهٖ هُوَ خَيْرًا لَّهُمْ ۗ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَّهُمْ ۗ سَيُطَوَّقُوْنَ مَا بَخِلُوْا بِهٖ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ ۗ وَلِلّٰهِ مِيْرَاثُ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِۗ وَاللّٰهُ بِمَا تَعْمَلُوْنَ خَبِيْرٌ
Allah berfirman: “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya, menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Sedangkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu?” (QS Ali-Imran: 180)
Akhir sekali, marilah kita sama-sama muhasabah diri untuk memanfaatkan kelebihan rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada kita untuk melaksanakannya. Semoga ibadah dan amal kebajikan yang kita lakukan atas dasar keikhlasan dan ketaqwaan kepada Allah SWT diterima dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda. Amin Ya Rabbal Alamin.
Semoga penulisan ini bermanfaat dan dapat dijadikan sebagai rujukan buat anda semua.
Sudahkah anda memahami pengertian korban yang sebenar dan beberapa perkara penting mengenainya?