Nabi Yusuf sangat menghormati kedua ibubapanya walaupun terpisah 30 tahun yang lalu. Adab Nabi Yusuf dalam menyantuni orang tua, telah Allah rakamkan dalam Surah Yusuf ayat 99 supaya menjadi pengajaran kepada umat islam yang lain.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
فَلَمَّا دَخَلُوْا عَلٰى يُوْسُفَ اٰوٰۤى اِلَيْهِ اَبَوَيْهِ وَقَا لَ ادْخُلُوْا مِصْرَ اِنْ شَآءَ اللّٰهُ اٰمِنِيْنَ
“Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman.”
(QS. Yusuf 12: Ayat 99)
Negara Mesir itu terlalu asing bagi ayahandanya iaitu Nabi Yaakub. Tetapi desakan ekonomi di tempat tinggal Nabi Yaakub, menjadi asbab baginda ke Mesir. Psikologi orang tua yang mudah sensitif, berubah personaliti, mudah was-was dan sentiasa dalam keresahan perlu diambil berat oleh anak-anak. Namun, Nabi Yusuf berjaya mententeramkan hati orang tuanya dengan memberi keamanan secara fizikal, emosi dan akidah.
1. Keamanan secara fizikal
Nabi Yusuf memberi jaminan makanan yang mencukupi dan tempat tinggal yang selesa untuk ayahnya. Kita juga perlu mencontohi sikap baginda. Kita perlu berikan layanan yang terbaik kepada ibubapa yang tinggal bersama kita. Berikan makanan yang berkhasiat kepada mereka dan menjaga mereka ketika sakit.
2. Keamanan secara emosi
Nabi Yusuf memaafkan kesalahan adik beradiknya dan sikap pemaaf ini memberi kelegaan kepada ayahandanya. Fitrah ibu bapa yang mahukan anak anaknya berkasih sayang selagi mereka masih hidup. Sekiranya kita mempunyai konflik di antara adik beradik, berusahalah untuk berbaik. Ibu bapa kita lebih mudah beremosi jika anaknya bermusuhan.
3. Keamanan secara akidah
Nabi Yusuf memberi jaminan bahawa selamat untuk beribadah di negara Mesir kerana baginda merupakan al-Aziz. Tiada siapa yang mampu menghalang mereka untuk terus mengamalkan agama. Dalam situasi kita, berikan kemudahan kepada ibu bapa kita untuk terus melakukan ibadah walaupun dalam keadaan uzur. Kita perlu prihatin terhadap kemampuan mereka untuk beribadah. Jika mereka berminat untuk ke masjid, kita perlu berikan sokongan kepada mereka.
Kesimpulannya, Allah mengingatkan kepada anak-anak untuk berbakti kepada ibu bapa selagi mereka masih hidup.
Surah al-Nisa’ ayat 36 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”