3 Tips mendidik anak mencintai kebaikan
Bagaimana mahu menjadikan keturunan kita sebagai saham akhirat?
Persoalan ini timbul sekiranya kita memahami anak dan harta merupakan perhiasan dunia seperti yang Allah nyatakan dalam surah al-Kahfi.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا
“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Rabbmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.” (Al-Kahfi: 46)
Akan tetapi, jika ibubapa mendidik anak untuk hidup beragama, anak ini mampu menjadi peluang terbukanya laluan ke syurga.
Dr Abdullah Nasih Ulwan memberi panduan mendidik anak dalam bukunya Tarbiyatul Aulad fil islam. Tujuan pendidikan Islam ini dapat membentuk anak yang berakhlak mulia, beriman dan bermanfaat untuk masyarakat.
1. Mendidik anak dengan keteladanan (rolemodel)
Metode ini paling berkesan kerana anak-anak memerhati setiap tindakan ibu bapanya. Anak yang masih kecil mahir meniru perbuatan di sekelilingnya dan belum pandai menerima maklumat yang berat.
Ibu bapa digalakkan untuk mengadakan solat berjemaah, berkata baik dan menunjukkan akhlak yang baik di rumah.
2. Mendidik dengan nasihat
Nasihat yang berlandaskan al-Quran dan hadis dapat membentuk prinsip hidup beragama dalam diri anak. Kepelbagaian nasihat seperti perumpamaan, kisah-kisah dalam al-Quran, kisah tokoh Islam menjadikan proses tarbiyah menjadi lebih seronok.
Sebagai contoh, kisah pemurah Abd Rahman bin Auf memberi inspirasi untuk bersedekah dengan kemampuan yang ada. Kita sebagai ibu bapa perlu memberi dorongan kepada anak-anak bahawa membuat kebaikan itu akan disayangi Allah.
Jika mempunyai peluang, bawalah anak-anak untuk menziarahi fakir miskin dan memberi sedekah kepada mereka. Hidup ini bukan tentang diri kita sahaja, tetapi kita perlu peduli pada kesusahan manusia yang lain.
3. Mendoakan kebaikan untuk anak
Ibu bapa digalakkan untuk mendoakan kebaikan anak setiap hari. Doa ibubapa terhadap anak akan dimakbulkan oleh Allah.
Ini adalah antara doa pendek yang boleh kita amalkan.
-
Doa Penyejuk mata
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ
Maksudnya: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami”
(Surah al-Furqan:74)
2. Doa istiqamah solat
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. [Surah Ibrahim ayat 40]
Yatim yang sebenar bukanlah ibubapanya terpisah daripada dunia dan meninggalkannya dengan hina.
Yatim yang sebenar adalah yang mempunyai ibu tidak bertanggungjawab dan ayah yang sibuk